KUALA LUMPUR: “Terlalu berat bagi saya.”
Demikian respons pelakon, Fasha Sandha mengenai pandangan setengah pihak yang merasakan dia, selepas menerima Pingat Jasa Baik (PJB) daripada Tuanku Raja Perlis, juga layak dianugerahkan gelaran Datuk atas sumbangannya kepada industri seni tanah air.
Pemilik nama penuh Nur Fasha Sandha Hassan itu bagaimanapun merasakan dirinya belum layak dan tidak pernah terfikir ke arah itu.
“Masih terlalu jauh untuk dianugerahkan gelaran Datuk, rasanya terlalu berat bagi saya.
“Saya tak ada komen mengenainya. Saya pun tidak pernah terfikir ke arah itu,” katanya yang ditemui selepas tayangan khas filem Citra Apartment di GSC IoI Mall, Damansara, semalam.
Fasha dalam pada itu, menganggap penganugerahan PJB yang diterimanya baru-baru ini sebagai kurniaan paling tinggi kepada dirinya.
“Alhamdulillah, penganugerahan ini adalah rezeki perkahwinan dan rezeki anak-anak yang tidak disangka. Saya ini lahir di Johor, tetapi mungkin dianugerahkan kerana membesar di Perlis.
“Dan saya banyak kelemahan yang perlu diperbaiki, namun saya tetap bersyukur dan merasakan diri ini dihargai apabila menerima pengiktirafan tersebut.
“Saya anggap ianya hadiah daripada Raja Perlis kerana Tuanku amat jarang memberi penganugerahan ini.
“Apa yang boleh saya katakan pengiktirafan ini tentunya menyuntik semangat saya untuk lebih aktif dalam bidang seni dan menyumbang untuk negeri Perlis,” kongsinya.
Ditanya pula mengenai signifikan dia menyarungkan baju pertunangannya yang direka Rizman Ruzaini ketika hadir ke menerima penganugerahan itu, kata Fasha busana tersebut adalah pakaian dalam simpanan yang paling sesuai digayakan ke istana.
“Saya ada beberapa persalinan tetapi tidak semua menepati kriteria yang ditetapkan untuk hadir ke acara berkenaan. Tambahan pula ada peraturan pemakaian dalam istana yang perlu dipatuhi.
“Baju pertunangan itu baru sekali saya pakai iaitu pada tahun 2018 dan kebetulan masih muat untuk saya sarungkan, Alhamdulillah,” kongsinya. – UTUSAN