PETALING JAYA: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) akan menganjurkan Program Fun Run 5.3 KM dan Fun Ride 18 KM sempena Hari Tanpa Kenderaan Subang Jaya (HTKSJ) 2025 Edisi Ketiga dan sambutan Bulan kemerdekaan yang akan berlangsung pada 10 Ogos 2025 (Ahad) bertempat di AEON Mall, Taman Equine, Seri Kembangan.
Penganjuran ini merupakan sebahagian daripada inisiatif MBSJ dalam mempromosikan gaya hidup sihat dan lestari bersama keluarga, di samping menyokong agenda bandar rendah karbon selaras dengan komitmen MBSJ terhadap pembangunan mampan.
MBSJ dalam satu kenyatyaan memberitahu, keistimewa bagi penganjuran HTKSJ tahun ini, MBSJ menawarkan 300 medal eksklusif kepada peserta terawal bagi acara Fun Run dan 100 medal eksklusif kepada peserta Fun Ride yang mendaftar di bawah Pakej A. Selain itu, peserta turut berpeluang menyertai cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik, termasuk sebuah motosikal elektrik (EV) LION G1 bernilai RM4,000.
Usaha ini adalah sebahagian daripada komitmen MBSJ dalam mempromosikan mobiliti hijau serta menyokong pelaksanaan agenda kelestarian dan pengangkutan rendah karbon di peringkat bandar raya.
Sehubungan itu, orang ramai yang berminat untuk menyertai program ini masih berpeluang mendaftar secara dalam talian melalui imbasan kod QR yang tertera pada poster promosi, portal rasmi MBSJ di www.mbsj.gov.my atau melalui platform media sosial MBSJ.
Tarikh akhir pendaftaran bagi Pakej A dan C1 adalah pada 29 Julai 2025, manakala bagi Pakej B dan C2 pula adalah pada 4 Ogos 2025.
Pakej C dibuka khusus bagi pelajar sekolah rendah dan menengah. Peserta yang mendaftar di bawah Pakej A dan C1 turut akan menerima T-shirt rasmi program sebagai cenderahati penyertaan Bagi menggalakkan penglibatan dalam kalangan pelajar.
MBSJ turut memperkenalkan Anugerah Khas kepada sekolah yang mencatatkan jumlah penyertaan tertinggi. Inisiatif ini merupakan tanda penghargaan terhadap komitmen dan kerjasama pihak sekolah dalam mendorong penyertaan pelajar serta membudayakan kesedaran awal mengenai amalan gaya hidup sihat dan kelestarian alam sekitar.
MBSJ mengalu-alukan kehadiran seluruh komuniti bandar raya Subang Jaya dan kawasan sekitarnya untuk bersama-sama memeriahkan penganjuran program ini, seterusnya menyokong pelaksanaan Pelan Tindakan Bandar Hijau MBSJ ke arah pembentukan sebuah bandar yang lebih sihat, lestari dan mesra alam. – UTUSAN