PETALING JAYA: Taktik meminta bantuan dan sumbangan secara dalam talian semakin ketara sejak kebelakangan ini apabila media sosial digunakan sebagai saluran utama untuk meraih simpati orang ramai.
Tinjauan Utusan Malaysia di media sosial mendapati pelbagai bentuk rayuan dikongsikan setiap hari merangkumi permohonan bantuan perubatan, bayaran sewa rumah, kos pendidikan, hutang peribadi serta keperluan asas keluarga.
Kebanyakan hantaran menggunakan bahasa berbentuk emosi, ayat pendek yang merayu simpati hingga menyebabkan orang ramai bertindak segera tanpa berfikir panjang.
Penyamaran wartawan memuat naik perkongsian seekor kucing nazak memerlukan bantuan kewangan untuk ke klinik haiwan turut mendapat perhatian warga maya yang rata-rata mengulang kongsi serta meninggalkan komen ingin membantu.
“Bagaimana kucing ini hendak makan dengan keadaan lidah sedemikian? Saya juga ingin menghulurkan sumbangan.
“Untuk membawanya ke klinik haiwan juga memerlukan kos pemeriksaan. Maklumkan kepada saya apabila hendak dibawa ke klinik, saya ingin menyumbang,” menurut komen.
Selain itu, mereka didapati menggunakan naratif seperti kehilangan pekerjaan, kesempitan hidup, kematian pasangan, masalah haiwan peliharaan yang memerlukan rawatan kecemasan serta kisah anak kecil yang didakwa menghidap penyakit kronik.
Lebih mengejutkan, terdapat individu yang tanpa ragu-ragu menghulurkan bantuan dengan membuat pindahan wang.
Seorang pengguna media sosial, Isma Zulkurnain, 24 berkata, dia mengakui pernah menyumbang sehingga RM50 untuk membantu kos rawatan kucing yang sakit selepas melihat perkongsian seorang individu di platform terbabit. – UTUSAN










