Festival Filem Malaysia ke-34 perkenal kategori Anugerah Aksi dan Lagak Ngeri terbaik - Utusan Malaysia

Festival Filem Malaysia ke-34 perkenal kategori Anugerah Aksi dan Lagak Ngeri terbaik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU KELANG: Festival Filem Malaysia (FFM) ke-34 memperkenalkan kategori baharu iaitu Anugerah Aksi dan Lagak Ngeri Terbaik.

Menurut Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, anugerah ini diwujudkan bagi mengiktiraf keberanian dan kesungguhan pelakon lagak ngeri tanah air.

“Sukacita saya ingin mengumumkan bahawa satu kategori baharu diperkenalkan dalam FFM34 tahun ini iaitu Anugerah Aksi dan Lagak Ngeri Terbaik.

“Ia merupakan pengiktirafan terhadap keberanian, kesungguhan dan profesionalisme para karyawan dalam menjayakan adegan aksi yang mencabar namun selamat dan berkualiti,” katanya.

Beliau ditemui Utusan Malaysia di majlis sidang media pertama FFM34 di Pawagam Mini P.Ramlee, Finas, Hulu Kelang pada Selasa.

Jelas Teo lagi, anugerah ini signifikan melihat kepada penerbitan filem aksi tempatan yang meraih pencapaian dan sambutan baik penonton di Malaysia.

“Lonjakan ketara penerbitan filem aksi tempatan menunjukkan bukan sahaja ada peningkatan dari segi teknikal dan keselamatan, tetapi juga pencapaian nilai tontonan yang tinggi.

“Justeru, kategori ini diperkenalkan untuk meraikan usaha luar biasa tenaga produksi, pasukan teknikal dan para pelakon lagak ngeri yang sering berada di barisan hadapan babak berisiko tinggi,” katanya.

Pemenang bagi kategori tersebut akan membawa pulang trofi khas serta wang tunai bernilai RM5,000.

Dalam pada itu, Pengarah Festival Filem Malaysia ke-34, Yang Mulia Raja Mohammad Adhzim Raja Ahmad berkata penyertaan bagi 30 kategori yang dipertandingkan kali ini telah dibuka bermula 8 Julai 2025 sehingga 18 Julai 2025.

“Kami jemput mana-mana karya yang diterbitkan bermula 1 Julai 2024 hingga 30 Jun tahun ini untuk menghantar penyertaan,” katanya.

Mengangkat tema ‘Karya Kreatif, Sinema Dinamik’, FFM34 meraikan kepelbagaian gaya penceritaan dan keberanian dalam mengeksplorasi sempadan baharu seni visual.

Tema ini mencerminkan penghargaan terhadap kreativiti tanpa batas dan dinamisme sinema sebagai cerminan denyut nadi masyarakat moden, selari dengan perkembangan teknologi dan realiti sosial masa kini.

FFM34 akan dianjurkan pada 8 November 2025 di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri, Kota Media. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN