KUALA LUMPUR: Kerajaan menyalurkan sebanyak RM1.7 juta pampasan kepada pemilik kebun dan penternak yang mengalami kerugian akibat serangan hidupan liar sejak Inisiatif Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman Akibat Serangan Hidupan Liar (BKHT) diperkenalkan pada Mac 2024.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, inisiatif itu berfungsi dengan memberi bantuan kewangan secara one-off kepada mangsa yang harta benda, tanaman atau ternakan mereka dimusnahkan oleh haiwan liar seperti gajah dan harimau.
“Kerajaan melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), memberi perhatian serius terhadap kerugian yang dialami pemilik kebun dan penternak.
BKHT diwujudkan khusus bagi membantu mereka yang terkesan akibat serangan hidupan liar,” katanya.
Beliau menjawab soalan Fathul Huzir Ayob (PN-Gerik) yang meminta penjelasan mengenai pampasan wajar kepada penduduk di kawasan Gerik yang sering berdepan insiden sedemikian di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Johari, dari 2024 hingga September 2025, sebanyak 394 permohonan BKHT telah diluluskan.
“Bagi kawasan Parlimen Gerik sahaja, permohonan diterima dan diluluskan menunjukkan trend peningkatan,” katanya.
Pada 2024, sebanyak 36 permohonan lengkap diterima dan 34 diluluskan dengan jumlah bantuan RM155,075.19.
Sehingga September 2025, sebanyak 37 permohonan lengkap diterima dan diluluskan, melibatkan jumlah RM186,508.52.
Beliau berkata, kerajaan komited memastikan bantuan terus disalurkan kepada mangsa yang layak bagi mengurangkan beban kewangan akibat kerosakan dan kemusnahan yang berlaku.
“Kerajaan akan terus memperkukuh usaha mitigasi serta kerjasama dengan agensi berkaitan bagi mengurangkan konflik manusia-hidupan liar,” katanya. – UTUSAN










