2,400 calon SPM di Pahang berisiko terjejas banjir

2,400 calon SPM di Pahang berisiko terjejas banjir

AHMAD Zamri Md Isa (kanan) bersalaman dengan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pekan di Pekan, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Seramai 2,400 daripada 21,048 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Pahang dikenal pasti berisiko terjejas sekiranya berlaku banjir sepanjang tempoh peperiksaan bertulis yang berlangsung bermula hari ini hingga 23 Disember ini. 

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang, Ahmad Zamri Md Isa berkata, calon berisiko dikenal pasti melalui sistem pemantauan khas yang merekod lokasi kediaman serta laluan harian yang pernah dinaiki air.

“Setiap Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sudah mempunyai senarai lengkap calon berisiko.

“Jika berlaku banjir, mereka digerakkan ke pusat peperiksaan alternatif atau penempatan sementara bagi memastikan kesejahteraan mental dan emosi calon, selain menyediakan sokongan psikososial,” katanya selepas bertemu 95 calon SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pekan di sini, hari ini.

Seramai 21,048 calon di Pahang menduduki peperiksaan di 267 pusat peperiksaan, dibantu 5,426 petugas termasuk sukarelawan pengawas.

Ahmad Zamri berkata, pelan mitigasi khusus turut disediakan termasuk penempatan sementara di asrama sekolah atau pusat pemindahan sementara (PPS) selain membenarkan calon berpindah ke rumah saudara sekiranya laluan utama terputus.

Jelasnya, pusat peperiksaan alternatif juga disediakan bagi memastikan peperiksaan dapat diteruskan jika pusat sedia ada terjejas.

“Kita berada dalam fasa Monsun Timur Laut (MTL) dan Dashboard Op Payung sudah diaktifkan.

“Justeru, semua agensi termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah bersiap siaga dari aspek logistik, keselamatan dan bantuan kecemasan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN