PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia kini berada di landasan kukuh dan menyakinkan selepas negara mengalami peralihan besar berpandukan kerangka Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu berlaku daripada kesedaran mendalam untuk memperbetul kepincangan struktur dengan menaikkan siling dan lantai berteraskan tatakelola baik dalam pentadbiran.
Katanya, prestasi ekonomi negara bukan sahaja diakui di dalam negara, malah turut mendapat pengiktirafan antarabangsa.
“Pertumbuhan keluaran dalam negeri kasar (KDNK) suku pertama tahun ini mencatat pertumbuhan 4.4 peratus dan berdasarkan unjuran awal, suku kedua bakal mencecah 4.5 peratus.
“Dunia turut mengiktiraf kebangkitan negara. Malaysia melonjak 11 anak tangga ke kedudukan 23 dalam Indeks Daya Saing Dunia 2025. Tahun sebelumnya, kita mencatat pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah berjumlah RM384 billion iaitu peningkatan 17 peratus ketimbang 2023 dan pencapaian ini diunjur terus melonjak pada tahun 2025.
“Lebih penting, Ringgit Malaysia turut mencerminkan keyakinan yang kian pulih. Setakat pertengahan tahun ini, ringgit mengukuh lebih 5 peratus ketimbang Dolar Amerika Syarikat, iaitu terkini mencatat paras RM4.23. Prestasi itu meletakkan Ringgit sebagai antara lima mata wang terbaik Asia tahun ini,” katanya dalam Pengumuman Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia hari ini.
Perdana Menteri berkata, walaupun pencapaian data dan angka itu membanggakan namun ia tidak membawa makna sekiranya rakyat di bawah masih bergelut dengan kos sara hidup.
Katanya, pertumbuhan ekonomi meyakinkan membolehkan pelbagai ikhtiar meningkatkan darjat hidup rakyat dilaksanakan.
“Pasaran buruh terus menunjukkan prestasi memberangsangkan. Pengangguran yang pernah mencecah paras membimbangkan berjaya diturunkan daripada 3.9 peratus pada 2022 kepada 3.0 peratus pada Mei 2025.
“Angka itu terendah bagi tempoh lebih sedekad. Sepanjang 2023 dan 2024, lebih 250 ribu pekerjaan baharu diwujudkan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga telah meningkatkan Kadar Gaji Minimum kepada RM1,700 berbanding RM1,500 berkuatkuasa 1 Februari lalu.
Pada masa sama, katanya, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga memastikan 153,000 pekerja menerima sekurang-kurangnya gaji kehidupan wajar sebanyak RM3,100 sebulan.
“Kerajaan telah menambah bilangan jawatan doktor dan pegawai perubatan bagi menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik untuk rakyat. Kementerian Kesihatan akan menyegerakan usaha mengisi lebih 4,000 perjawatan di fasiliti kesihatan seluruh negara menjelang hujung tahun 2025,” katanya.-UTUSAN