Edar ganja, pasangan kekasih direman tujuh hari bantu siasatan

Edar ganja, pasangan kekasih direman tujuh hari bantu siasatan

ABDUL Rozak Muhammad (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian daripada dadah yang berjaya dirampas dalam serbuan baru-baru ini ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, George Town, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Sepasang kekasih direman selama tujuh hari bermula Jumaat lalu bagi membantu siasatan susulan penemuan sejumlah dadah jenis ganja di sebuah rumah di Tanjong Tokong di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, terdahulu, pasangan kekasih terbabit yang terdiri daripada seorang lelaki warga tempatan dan wanita warga Thailand ditahan dalam satu operasi berkaitan dadah di Pulau Tikus kira-kira pukul 9.30 malam, Khamis lalu.

Katanya, susulan penahanan suspek yang masing-masing berusia 25 dan 20 tahun itu, polis kemudian bertindak menyerbu dan memeriksa rumah mereka di Tanjong Tokong.

“Dalam serbuan berkenaan, polis menjumpai 15 ketulan mampat daun-daun kering yang dibaluti plastik lutsinar disyaki ganja seberat 8.2 kilogram (kg) bernilai RM25,420.

“Risikan mendapati, sindiket ini telah bergiat aktif sejak awal tahun ini bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan (Pulau Pinang).

“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ini pula dianggarkan boleh digunakan oleh seramai 16,400 orang atau sebanyak 16,400 kali penggunaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Sementara itu, Abdul Rozak berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati, suspek lelaki positif dadah jenis benzo manakala suspek wanita pula negatif daripada sebarang penggunaan dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Sabit kesalahan, mereka boleh dihukum mati atau dipenjara seumur hidup selain dikenakan tidak kurang daripada 12 kali sebatan,” katanya yang memberitahu, semakan juga mendapati, suspek lelaki itu mempunyai empat rekod jenayah lampau sebelum ini.

Tambah beliau, siasatan lanjut masih dijalankan ketika ini bagi mengenal pasti jika terdapat pembabitan individu lain dalam sindiket berkenaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN