EAIC syor dakwa pegawai JIM salah guna kuasa lulus visa perubatan

EAIC syor dakwa pegawai JIM salah guna kuasa lulus visa perubatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengesyorkan pertuduhan jenayah dikenakan terhadap seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang disyaki menyalahgunakan kuasa dalam kelulusan Pas Lawatan Sosial (PLS) kategori visa perubatan kepada warga asing, tanpa mematuhi prosedur yang ditetapkan.

Cadangan itu dikemukakan susulan siasatan menyeluruh yang dijalankan oleh Pasukan Petugas Khas EAIC, diketuai oleh Pesuruhjayanya, Datuk Seri Dr. Razali Ab. Malik, di bawah Seksyen 17, Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].

Menurut Razali, siasatan mendapati terdapat pelanggaran serius melibatkan pegawai imigresen yang meluluskan visa perubatan walaupun mengetahui dokumen permohonan yang dikemukakan oleh warga asing dari beberapa negara tidak lengkap dan bercanggah dengan ketetapan dalam Pekeliling Imigresen Malaysia Bil. 10/2001.

“Pasukan Petugas telah menjalankan penelitian terhadap pematuhan tatacara sedia ada, mengumpul keterangan saksi-saksi berkaitan.

“Ini termasuk membuat penyitaan dokumen serta merumuskan syor yang bersesuaian untuk tindakan lanjut pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, EAIC telah memutuskan untuk merujuk hasil siasatan berkenaan kepada Jabatan Peguam Negara.

Ia selaras dengan Perenggan 30(1)(c), Akta 700, dengan syor agar pertuduhan jenayah difailkan terhadap pegawai JIM terlibat mengikut peruntukan Kanun Keseksaan [Akta 574]; Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155]; dan/atau Akta Pasport 1966 [Akta 150].

Tegas EAIC, tindakan tegas perlu diambil bagi memastikan integriti agensi penguatkuasaan sentiasa terpelihara dan tidak dicemari oleh segelintir pegawai yang menyalahgunakan kuasa demi kepentingan peribadi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN