Dzulkefly gagal singkir anak Mohamed Apandi

Dzulkefly gagal singkir anak Mohamed Apandi

DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad gagal dalam usahanya untuk menyingkirkan hakim yang mendengar ke saman fitnahnya terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung isu kronisme.

Pesuruhjaya Kehakiman, Arziah Mohamed Apandi memutuskan demikian selepas mendapati Dr. Dzulkefly selaku plaintif gagal menunjukkan terdapat bahaya berat sebelah berikutan beliau adalah anak kepada bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan ekoran kenyataan yang pernah dibuatnya.

Ketika membaca penghakiman ringkasnya, Arziah menyatakan bahawa tiada bukti menunjukkan wujudnya sebarang hubungan berterusan antara bapanya dan defendan (Najib) selain daripada kehadiran Apandi sebagai saksi dalam satu kes pada tahun 2019.

Beliau menjelaskan bahawa bapanya telah menamatkan tugas sebagai Peguam Negara pada 2018, dan sebarang kaitan dengan kes saman tersebut.

“Hubungan kekeluargaan semata-mata tidak mencukupi untuk mengarahkan pengunduran seorang hakim, kerana ia tidak mewujudkan bahaya sebenar berat sebelah,” tambahnya.

“Hubungan kekeluargaan antara anggota kehakiman dan profesional undang-undang adalah perkara biasa dan tidak secara automatik menimbulkan berat sebelah. Anak-anak kepada hakim sering hadir di mahkamah tanpa menimbulkan kebimbangan,” kata Arziah lagi.

Selain itu, Arziah turut menyatakan permohonan Dr. Dzulkefly tidak mempunyai sebarang asas.

“Kenyataan yang dibuat semasa pengurusan kes adalah arahan lazim bertujuan untuk mengelakkan kes-kes daripada terbiar, bukan petunjuk ketidakberpihakan,” katanya.

Selepas membuat keputusan tersebut, mahkamah kemudian menetapkan pengurusan kes itu pada 13 Ogos ini.

Pada Januari 2022, Dr. Dzulkefly memfailkan saman atas kapasiti peribadi mendakwa, Najib telah memuat naik satu hantaran fitnah di Facebooknya pada 24 Ogos 2020, pada pukul 12.54 tengah hari berhubung isu kronisme serta satu lampiran paparan skrin artikel akhbar Sinar Harian bertarikh 28 Januari 2019 dengan gambar wajah plaintif.

Menurut penyata tuntutan, Dr. Dzulkefly selaku plaintif mendakwa kenyataan yang dibuat Najib itu antaranya membawa maksud plaintif mengamalkan kronisme dengan penawaran jawatan atau lantikan kepada saudara-mara, tanpa melalui apa-apa penilaian objektif dan keupayaan terhadap sesuatu jawatan dalam syarikat-syarikat kerajaan atau swasta.

Plaintif mendakwa Najib te­lah menerbitkan hantaran fitnah itu dengan niat untuk menyerang peribadinya, menjatuhkan maruah serta mengaib­kannya dan ia adalah bermotifkan politik yang secara nyata berniat untuk memfitnah serta menjejaskan reputasinya.

Oleh itu, plaintif memohon perintah injunksi untuk menghalang defendan atau ejen-ejennya meneruskan pe­nerbitan atau menyebarkan hantaran tersebut dalam sebarang cara.

Plaintif turut memohon pe­rintah agar defendan membuat permohonan maaf secara bertulis yang diterbitkan di akaun Facebooknya dan dihebahkan di akhbar tempatan pilihannya dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perintah, selain memohon ganti rugi am, teruk, te­ladan dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu dalam pernya­taan pembelaannya mendakwa, hantaran mengenai isu kronisme di akaun Facebooknya tiada kaitan dengan plaintif.

Najib mendakwa terbitan tersebut merujuk kepada gabungan parti Pakatan Harapan (PH), oleh itu tiada sebarang fitnah telah dibuat terhadap plaintif.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN