Durian luruh tambah rezeki penduduk

Durian luruh tambah rezeki penduduk

MOHD. Ali Khan Marekar membersihkan buah durian dari kebunnya di Kampung Ulu Kuang, Chemor dekat Ipoh, Perak semalam. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Musim durian di Perak ketika ini memberikan rezeki kepada penduduk kampung termasuk seorang pesara kerajaan di Kampung Ulu Kuang, Chemor di sini, Mohd. Ali Khan Marekar, 75.

Mempunyai lebih 30 pokok durian dengan sebahagian besarnya durian kampung di tanah dusunnya, rutin harian Mohd. Ali ketika ini lebih banyak ke dusun yang terletak berdekatan dengan rumahnya untuk mengutip durian.

Menurutnya, ketika ini musim durian luruh sudah memasuki pertengahan dan jumlah buah yang luruh semakin banyak.

Jelasnya, dia berulang alik ke dusun untuk mengutip buah yang luruh dan diangkut menaiki motosikal seterusnya dikumpul sebelum dijual kepada peraih yang datang setiap hari.

“Musim durian kali ini saya sifatkan sederhana, maksudnya buahnya tidak terlalu lebat dan tidak juga berkurang jika dibandingkan musim sebelum ini.

“Musim durian memberikan pendapatan tambahan kepada saya yang tinggal di kampung, apatah lagi saya sudah bersara daripada pekerjaan sebagai kakitangan kerajaan.

“Harga buah durian berpatutan, mengikut harga semasa. Saya jual kepada peraih antara RM4 dan RM5 sekilogram, bergantung kepada jenis dan saiz durian. Walaupun banyak tempat di Perak mengalami musim durian, harga raja buah ini tetap stabil.

“Dalam masa sama, walaupun banyak varieti durian namun durian kampung tetap diminati kerana mempunyai rasa dan aroma yang unik berbanding dengan klon-klon durian yang lain,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, durian kampung tetap menjadi pilihan penggemar raja buah itu dan dia beruntung kerana sebahagian besar pokok durian di dusunnya merupakan pokok tua yang berusia lebih 50 tahun.

Katanya, hanya terdapat tiga pokok durian musang king di dusunnya manakala selebihnya pokok durian kampung.

“Tanah dusun milik bersama dengan isteri saya, Halimahton Saadiah, 68, sebahagian besar pokok durian kampung berusia lebih 70 tahun.

“Musim durian memang meriah, bukan sahaja dapat rezeki tetapi suasana kampung bertambah meriah dengan kehadiran peraih dan peminat raja buah yang datang ke dusun untuk mencari buah yang segar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN