KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr. Fuziah Salleh kesal apabila bekalan beras tempatan kini mencukupi namun kurang mendapat sambutan.
Menurutnya, sebelum ini rakyat mendakwa kerajaan gagal menangani isu kekurangan beras hingga menimbulkan pelbagai rungutan.
“Dulu rakyat bising tiada beras tempatan, tetapi sekarang bila stok sudah banyak di pasar raya, termasuk Jualan Rahmah pun tak laku pula,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan tambahan Suhaizan Kaiat (PN-PULAI) yang bertanya apakah benar kenaikan harga barang dan tarif elektrik ini membebankan rakyat.
Fuziah tidak menafikan masih ada rakyat terkesan, justeru kerajaan terus melaksanakan Jualan Rahmah serta program intervensi harga bagi membantu golongan memerlukan.
Katanya, pengguna juga perlu bijak membuat pilihan dan tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan tidak berasas di media sosial. – UTUSAN










