Apa iktibar daripada kontroversi Shuhaily?

Apa iktibar daripada kontroversi Shuhaily?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindu­ngan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain mengatakan beliau tidak mahu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jadi seperti macam Selayang apa yang kita boleh bayang?

Sudah tentu satu tempat yang penuh dengan warga ­asing, berniaga tanpa mengikut peraturan, bebas ke sana ke mari hingga orang tempatan pun kadang-kadang menjadi gerun untuk masuk ke kawasan tertentu di Selayang.

Begitu juga dengan KLIA, sudah tentu kita pernah melihat laporan berita dan video-video viral bagaimana warga asing yang dibawa masuk ke negara ini duduk bergelimpangan sementara menunggu ejen-ejen menguruskan kemasukan mereka.

Ada yang berhari-hari menjadikan ruang ketibaan di lapangan terbang utama negara itu sebagai tempat transit mereka sementara menunggu ‘kebenaran’ untuk melepasi imigresen. Itu belum lagi cerita tentang counter setting oleh para pegawai kita di pintu sempadan hingga menyebabkan negara kita menjadi syurga kepada pendatang asing.

Sebab itu, kerajaan mewujudkan AKPS yang diterajui oleh Shuhaily dan beliau pun bukan seorang pegawai yang digemari kerana sikapnya yang berterus terang dan no nonsense.Sikap itu ketara sejak beliau berkhidmat di Pulau Pinang dan menjadi Ketua Polis Kuala Lumpur.

Sikap yang menyebabkan banyak aktiviti haram ter­gugat, counter setting terbongkar dan kemasukan warga asing secara tidak sah ke negara ini dapat dikawal. Itu belum diambil kira hal-hal berkaitan dengan penyeludupan terutamanya dadah.

Tidak dinafikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) sejak sekian lama telah bertungkus-lumus mematahkan segala aktiviti jenayah bukan sahaja di KLIA tetapi di pintu-pintu sempadan di seluruh negara.

Namun, kehadiran AKPS di bawah Shuhaily menambah rasa gerun kepada penjenayah dan menjadi satu lagi lapisan yang perlu mereka lepasi jika mahu melakukan jenayah penyeludupan dan pemerdangan manusia. Sebab itu kontroversi membabitkan Shuhaily di KLIA baru-baru ini perlu dilihat daripada sudut yang pelbagai. Semua persoalan perlu dijawab termasuk pihak-pihak yang merakam video dan mencetuskan kontroversi itu.

Adakah Shuhaily saja-saja bertindak seperti itu tanpa bersebab? Siapa yang melakukan provokasi? Apakah tindakan AKPS itu salah? Kalau pihak AKPS dikatakan bersalah adakah pihak yang satu lagi itu betul? Dan siapa pihak yang Shuhaily berkonfrontasi? Dan kenapa pula mereka betul dan Shuhaily salah?

Cuma apabila Ketua Pengarah AKPS itu mengatakan beliau tidak mahu KLIA menjadi seperti Selayang, semua pihak kena buka mata. Celik luas-luas tengok apa yang berlaku di KLIA. Ia bukan perkara baharu. Sebelum Shuhaily bercakap sudah banyak video viral yang menunjukkan sisi gelap KLIA terutama yang membabitkan imigran.

Jadi, di sebalik kontroversi Shuhaily itu, semua pihak kena ambil iktibar. Jangan sampai KLIA benar-benar jadi seperti Selayang. Jangan sampai nasi menjadi bubur. Cegahlah sebelum isu itu menjadi parah dan barah yang membusukkan imej negara.

Aznan Bakar ialah Pemangku Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd.