JOHOR BAHRU: Bandar raya Johor Bahru semakin pesat membangun dan kini dihuni penduduk daripada pelbagai latar belakang dan pekerjaan termasuklah kira-kira 350,000 orang yang berulang-alik untuk bekerja di Singapura.
Bagaimanapun, kepesatan pembangunan itu tidak bermakna penduduknya terlepas daripada tekanan ekonomi khususnya peningkatan kos sara hidup dihadapi yang tidak seiring dengan peningkatan pendapatan.
Keadaan itu menyebabkan sebahagian penduduk di bandar raya ini terpaksa memilih untuk tinggal di bilik sewa sempit hasil ubah suai di ruang tingkat atas rumah kedai sehingga ia digelar sebagai rumah ‘sarang burung’
Meskipun menyedari risiko keselamatan dihadapi, mereka berasakan tiada pilihan lain selain tinggal di ‘rumah’ sedemikian kerana kediaman yang lebih selesa memerlukan perbelanjaan sewa yang jauh lebih tinggi sekali gus menambah beban kewangan.
Seorang pekerja swasta yang hanya mahu dikenali sebagai Zamri, 36, berkata, dia menetap selama setahun di bilik sewa sedemikian sebelum berpindah ke rumah sewa yang lain.
“Saya menetap lebih daripada setahun, pada mulanya saya ambil keputusan untuk tinggal di situ kerana terdesak mahukan tempat menginap bagi memulakan pekerjaan di Johor Bahru.
“Saya ada menghubungi beberapa premis bilik sewa lain tetapi tiada yang bersesuaian dengan kewangan ketika itu, jadi saya buat keputusan sewa bilik atas rumah kedai dengan kadar RM250 sebulan.
“Memang ada yang lebih selesa dan selamat tetapi saya baru hendak mulakan kerja ketika itu, jadi tidak mampu untuk membayar sewa yang terlalu tinggi, ditambah lagi semuanya memerlukan dua atau tiga bulan wang deposit,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Tambahnya, dia sedar risiko yang mungkin boleh terjadi kerana kediaman sedemikian menempatkan antara lapan hingga 10 bilik berlainan dengan hanya satu laluan keluar masuk iaitu tangga utama.
“Tetapi ketika itu saya tiada pilihan, saya rasa bukan saya seorang yang berfikiran sedemikian. Masing-masing yang menginap di bilik sewa ini mempunyai sebab tersendiri tetapi pastinya ia kerana hanya bilik sewa seperti ini yang mampu dibayar mereka setiap bulan.
“Jika diberi pilihan, pastilah semua orang mahu tinggal di rumah yang selesa dan selamat tetapi bukan semua mampu. Jadi apa pilihan yang ada, tak kan saya mahu jadi gelandangan,” katanya.
Menurut Zamri lagi, keadaan bilik tersebut walaupun kecil tetapi memadai kerana dia tinggal bersendirian dan tidak mempunyai terlalu banyak barangan peribadi.
“Bilik sewa itu lebih kepada tempat tidur dan simpanan barang. Banyak masa saya dihabiskan di luar iaitu pada waktu bekerja atau berjumpa rakan-rakan, jadi biasanya apabila balik ke bilik sewa untuk rehat dan tidur sahaja.
“Keadaan saya jauh lebih baik berbanding beberapa orang lain. Ada antara penyewa yang sudah berkeluarga dan mempunyai anak-anak kecil, sudah tentu mereka ada alasan tersendiri tinggal di kediaman seperti ini,” katanya.

Seorang lagi penyewa yang dikenali sebagai Ziana, 41, berkata, dia tinggal di kediaman bilik sewa ‘sarang burung’ kerana keluarganya tidak mempunyai pendapatan tetap yang mencukupi untuk menyewa rumah.
“Suami saya bekerja biasa-biasa, tiada pekerjaan tetap jadi tiada pendapatan tetap. Jadi kami menyewa di tempat ini bersama dua anak yang masih kecil, bayaran bulanan sekitar RM400 sahaja.
“Lokasinya di kawasan bandar jadi mudah untuk suami mendapatkan pekerjaan membantu orang dengan pendapatan harian, kadang-kadang saya ambil upah membantu di kedai makan tetapi sukar kerana ada anak kecil untuk dijaga,” katanya.
Pada masa sama, dia berharap pihak berkuasa tidak mengenakan sebarang tindakan kepada individu yang menyewa kediaman seperti itu kerana mereka tiada pilihan lain.
“Bukan kami sengaja mahu duduk di tempat seperti ini, tetapi kami tiada pilihan. Kami tidak mahu mengemis dan meminta-minta, cuma mahu cari tempat tinggal yang selamat dan selesa untuk anak-anak,” katanya.
Sewa murah tetapi risiko bahaya tinggi
Biarpun sewanya murah, tetapi premis bilik sewa melibatkan unit rumah kedai mempunyai risiko keselamatan yang tinggi buat penghuninya.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba, Siti Rohani Nadir berkata, antara risiko utama adalah premis sedemikian tidak menyediakan aspek keselamatan yang terbaik buat penghuninya.
Katanya, majoriti premis berkenaan diubah suai daripada sebuah unit rumah kedai kepada beberapa bilik kecil untuk dijadikan asrama atau bilik sewa tanpa kelulusan pihak berkuasa.
“Antara risiko yang kerap dikesan termasuk laluan keluar masuk yang tidak mencukupi. Kebiasaannya premis seperti ini hanya memiliki satu laluan iaitu laluan utama jadi apabila waktu kecemasan, perkara itu mungkin boleh menyebabkan risiko keselamatan.
“Selain itu, kesalahan lain termasuklah laluan sempit yang terhalang oleh pelbagai barangan milik penghuni, pencahayaan yang kurang terang kerana mahukan privasi dan sistem pengudaraan yang tidak memuaskan.
“Semua faktor ini mainkan peranan khususnya ketika waktu kecemasan, ia boleh menentukan antara hidup dan mati seseorang sekiranya berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.

Menurut Siti Rohani, pihaknya telah merekodkan sekurang-kurangnya sembilan kes kebakaran melibatkan premis ‘sarang burung’ di seluruh Johor sejak Januari hingga Julai tahun ini.
“Antaranya termasuklah kes kebakaran di Pontian di mana dua individu masing-masing berusia 31 dan 37 tahun ditemukan rentung selain beberapa individu mengalami kecederaan melecur di badan akibat kebakaran tersebut.
“Premis yang hanya memiliki satu laluan keluar masuk mudah terhalang apabila berlaku kebakaran. Bilik-bilik pula kebiasaannya dibina menggunakan kayu, jadi bahan berkenaan lebih mudah terbakar berbanding bahan-bahan lain,” katanya.
Tambahnya, selain itu, kebanyakan bilik sewa ini kecil dengan berkeluasan antara tiga meter kali tiga meter atau empat meter kali tiga meter.
“Ruangan seperti ini meningkatkan risiko bahaya kerana bukan sahaja premis mudah menjadi kotor tetapi turut mengundang risiko kesihatan dengan kehadiran haiwan perosak seperti tikus, lipas, lalat, nyamuk dan sebagainya.
“Nasihat saya kepada mana-mana pihak yang mahu sediakan perkhidmatan ini, dapatkan pandangan dan nasihat daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) terlebih dahulu.
“Ini penting kerana apabila sesebuah bangunan diubah suai, fungsinya telah berubah begitu juga aspek keselamatan yang perlu dilihat.
“Syarat-syarat keselamatan perlu dipatuhi demi kesejahteraan semua pihak, khususnya penghuni yang menginap di kediaman sedemikian,” katanya.

MBJB kesan sembilan unit rumah kedai jadi ‘sarang burung’
Sementara itu, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) memaklumkan telah mengesan sembilan unit rumah kedai yang telah diubah suai daripada fungsi asalnya iaitu unit pejabat kepada bilik-bilik sewa ‘sarang burung’ dalam kawasan pentadbirannya.
Pihak berkuasa tempatan itu berkata, tindakan penguatkuasaan sewajarnya telah diambil melibatkan premis-premis yang dikesan.
“Jabatan Bangunan bertindak mengeluarkan notis di bawah Akta 133 bagi premis yang mempunyai sekatan bilik-bilik di ruang pejabat yang mana ia bercanggah dengan fungsi asal bangunan tersebut.
“Sembilan premis dikesan, masing-masing di Kawasan Perindustrian Tampoi, Taman Kempas Utama, Kawasan Perindustrian Dewani, Larkin dan Bandar Baru Uda,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor pula berkata, pihaknya faham keperluan segelintir rakyat untuk mendapatkan kediaman mampu milik termasuk melibatkan premis sedemikian.
Bagaimanapun katanya, aspek keselamatan tidak boleh diabaikan, sebaliknya perlu dititikberatkan pada setiap masa.
“Kerajaan negeri sambut baik inisiatif JBPM berhubung isu ini, dan kesemua 16 PBT di seluruh Johor akan memberikan kerjasama penuh demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
“Tindakan sewajarnya akan diambil khususnya melibatkan pihak-pihak yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang sedia ada,” katanya.
Pada masa sama, Mohd. Jafni turut memberitahu, terdapat beberapa pilihan penginapan mampu milik yang boleh dipertimbangkan dibawah inisiatif Rumah Kasih Johor dan juga Projek Perumahan Rakyat (PPR).-UTUSAN.











