Duit pencen hampir habis bayar bil elektrik, empat beranak diuji sakit

Duit pencen hampir habis bayar bil elektrik, empat beranak diuji sakit

ROHANI Mustafa ditemani Emylia Latib menjaga Latib Ibrahim ketika ditemui di Kampung Kundur Hulu, Rembau. - UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Kehidupan empat beranak di Kampung Kundur Hulu di sini, kini diuji apabila kesemuanya sakit serta perlu bergantung dengan duit pencen tentera, Latib Ibrahim, 70, sebanyak RM1,200 sebulan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Rohani Mustafa, 69, berkata, lebih menyedihkan lagi, suaminya itu kini sukar bergerak selepas terjatuh di bilik air bulan lalu serta perlu memakai lampin pakai buang, selain anak keduanya, Muhamad Hafizi Latib, 41, merupakan pesakit obesiti dengan berat kira-kira 200 kilogram.

Menurutnya, Muhamad Hafizi kini telah dimasukkan ke Hospital Rembau semalam disebabkan masalah penyakitnya itu lebih-lebih lagi terdapat darah beku dan dia tidak mampu membeli ubat berkenaan di farmasi bernilai RM200 bagi sekeping ubatan berkenaan.

“Saya memang tidak mampu sebab semua perbelanjaan memang dari pencen suami sahaja. Itu pun bil elektrik sejak setahun lalu perlu dibayar antara RM700 hingga RM1,100 sebulan. Memang ada guna penghawa dingin serta peti ais, tetapi bil benar-benar melambung tinggi sehingga mengejutkan orang lain.

“Baki bayar bil baharu telah diguna untuk beli makan, ubat-ubatan dan kini saya dalam proses memohon bantuan berupa lampin pakai buang dengan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) bagi mengurangkan beban kewangan kami sekeluarga,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kampung Kundur Hulu, di sini hari ini.

Ujar Rohani lagi, dia juga kasihan dengan anak keduanya itu yang mulai sakit sejak empat tahun lalu akibat kemalangan dan tidak dapat bekerja seperti biasa bagi mencari rezeki sendiri.

Malah menurutnya, anak ketiganya, Emylia Latib, 40, pula mula mengalami masalah tidak boleh berdiri terlalu lama selepas menjalani pembedahan tukar tulang sendi.

“Emylia yang mencari rezeki dalam keluarga buat masa ini dengan menjual sarapan seawal pukul 6.30 pagi dari Isnin hingga Jumaat. Namun, untung tidak banyak mana pun dalam RM30 hingga RM50 bergantung kepada jualan nasi lemak dan kuih-muih sama ada habis atau tidak.

“Itulah, kalau boleh ada yang dapat bantu belikan ubat cair darah untuk anak saya pun tak apa. Kesian saya tengok anak saya terseksa. Duit pencen suami saya tidak cukup untuk membeli ubatan berkenaan,” katanya sambil menjelaskan ubat cair darah dibekalkan hospital kerajaan tidak mampu mencairkan darah anaknya itu.

Menurutnya, dia mempunyai seorang lagi anak perempuan, namun anaknya itu juga berdepan dengan kengkangan kewangan selepas suami anaknya dimasukkan ke hospital akibat sakit jantung.

Sehubungan itu, individu yang berhasrat untuk menghulurkan bantuan boleh menyalurkan ke akaun CIMB Bank 7605253107 dengan nama Rohani Mustafa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini