Duda didakwa tampar anak sebut 'bodoh'

Duda didakwa tampar anak sebut ‘bodoh’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menampar pipi anak perempuannya yang berusia empat tahun sehingga cedera, tiga bulan lalu.

Tertuduh, Mohamad Hazmi Mansor, 34, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Uthman Abd. Ghani.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan dengan cara menampar muka anaknya yang berusia empat tahun di sebuah kedai di Taman Cheng Utama dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 2 petang pada 17 April 2025.

Sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga setahun dan denda maksimum RM2,000 mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya Farah Nabihah Sofian mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan mengambil kira mangsa adalah anak tertuduh.

Peguam Amritpal Singh yang mewakili tertuduh merayu jaminan rendah dengan alasan anak guamnya baru diberhentikan kerja selain menanggung orang tuanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 11 Ogos depan untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen.

Difahamkan, tertuduh yang telah bercerai sejak empat tahun lalu bertindak demikian  kerana berang mangsa menyebut perkataan ‘bodoh’ berulang kali walaupun setelah ditegur. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN