Dua daripada tiga beranak yang ditemukan mati merupakan pesakit mental

Dua daripada tiga beranak yang ditemukan mati merupakan pesakit mental

KAKITANGAN forensik hospital dan anggota polis melakukan siasatan lanjut di rumah tiga sekeluarga yang ditemukan maut dalam keadaan mayat yang mereput di Taman Bukit Kristal, Seremban-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Dua daripada tiga beranak yang ditemukan mati dalam keadaan mayat mereput di sebuah rumah di Taman Bukit Kristal, di sini petang semalam merupakan pesakit mental.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, hasil siasatan pihaknya, si ibu yang berusia 59 tahun dan anak lelakinya berusia 30 tahun mempunyai kad orang kurang upaya kategori mental.

“Sehingga pukul 12.30 tengah hari ini, tiada ahli keluarga yang tampil membuat tuntutan ke atas mayat tiga beranak berkenaan.

“Kami juga sahkan, si ibu serta si anak mempunyai kad orang kurang upaya kategori mental. Pagi ini, pihak forensik hospital serta polis kembali ke lokasi kejadian bagi siasatan seterusnya,” katanya.

Terdahulu beliau berkata, mayat tiga beranak tersebut termasuk si bapa yang berusia 61 tahun ditemukan dalam keadaan sedang mereput dalam bilik tidur rumah terbabit.

Katanya, pihak polis yang menjalankan siasatan di tempat kejadian mendapati terdapat kesan torehan di bahagian lengan kanan mayat anak lelaki manakala mayat ibu bapa tiada sebarang tanda mencurigakan.

Sementara itu, jiran kepada tiga beranak itu mendakwa keluarga terbabit sering berkelakuan pelik sebelum ini.

Salah seorang jiran yang enggan dikenali berkata, sejak awal tahun ini dia terpaksa memasang kanvas di pagar yang membahagikan rumah mereka serta di hadapan pintu pagar bagi mengelak diintai keluarga terbabit.

“Dua anak lelaki saya serta isteri selalu mengadu tidak selesa sebab jiran saya itu terutamanya si bapa dan anaknya suka mengintai ke dalam rumah kami.

“Saya pun tidak tahu kenapa sebab saya baharu sahaja dua tahun berjiran dengan tiga beranak ini. 

“Saya difahamkan dari pemilik rumah, tiga beranak ni baharu empat tahun menyewa kediaman ini dengan ibu dan anak lelaki yang berperangai pelik itu rupanya mempunyai masalah mental,” katanya.

Katanya, dia telah meminta isterinya untuk menghubungi polis selepas terhidu bau busuk dari rumah jirannya itu.

“Saya bimbang sekiranya apa-apa berlaku ke atas mereka walaupun hubungan kami tidak mesra.

“Setiap hari mereka akan kerap keluar rumah mungkin untuk ke kedai makan. Kali terakhir saya nampak mereka tiga beranak balik pada pagi Sabtu lalu,, selepas itu tiada lagi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN