Didenda RM100,000, ekstrak pasir secara haram di tanah kerajaan

Didenda RM100,000, ekstrak pasir secara haram di tanah kerajaan

CHANG Chee Onn (kiri) ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Raub, Pahang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: Seorang pengusaha pasir didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengeks­trak pasir secara haram di tanah milik kerajaan di Sungai Ara, Mukim Gali, di daerah ini, dua tahun lalu.

Tertuduh, Chang Chee Onn, 67, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut, selain meluluskan permohonan lucuthak kesemua jentera yang disita kepada kerajaan negeri.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut fakta kes, hasil risikan dan serbuan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) kira-kira pukul 2.45 petang, 9 Disember 2023 mendapati sebuah jengkaut melakukan aktiviti pengekstrakan pasir di kawasan terbabit, sebelum dipindahkan ke dalam dua buah lori tipper.

Siasatan mendapati aktiviti tersebut dijalankan di luar kawasan permit yang sah, malah lokasi tangkapan dikenal pasti sebagai tanah kerajaan berdasarkan semakan dengan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Raub.

Tertuduh pula dikenal pasti sebagai individu yang mengurus serta mengarahkan aktiviti pengambilan pasir berkenaan.

Sampel pasir yang diambil di lokasi kejadian pada 10 Janua­ri 2024 disahkan sebagai pasir biasa oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).

Antara jentera yang disita dalam operasi tersebut ialah dua buah lori tipper masing-masing model Hino dan Nissan serta sebuah jengkaut model Hitachi.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 426(1) Kanun Tanah Negara (Pindaan 2020) Akta 828, yang memperuntukkan hukuman maksimum denda RM500,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa UPNP, Muhammad Taqiuddin Azizan memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh atas alasan kesalahan itu menyebabkan kerugian hasil negeri kerana tiada pembayaran royalti dilakukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini