Hutang Kerajaan Persekutuan RM1.38 trilion hingga akhir Jun - Utusan Malaysia

Hutang Kerajaan Persekutuan RM1.38 trilion hingga akhir Jun

HUTANG Kerajaan Persekutuan berjumlah RM1.38 trilion Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada akhir Jun 2026. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HUTANG Kerajaan Persekutuan berjumlah RM1.38 trilion bersamaan 63.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga akhir Jun 2026, menunjukkan perkembangan yang stabil ke arah mencapai sasaran hutang jangka masa sederhana 60 peratus seperti yang ditetapkan di bawah Akta 850.

Menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2027, profil hutang Malaysia terus menunjukkan struktur yang kukuh mencerminkan kecairan domestik yang mencukupi disokong oleh asas pelabur institusi yang luas dan amalan pengurusan hutang yang berhemah.

“Hutang dalam negeri mewakili 98.8 peratus daripada hutang terkumpul, manakala pinjaman luar pesisir berada pada paras 1.2 peratus (2025: 1.6 peratus), sekali gus mengurangkan risiko pertukaran mata wang asing.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pinjaman luar pesisir yang berjumlah RM16.7 bilion ini merangkumi sebanyak RM14.3 bilion dalam bentuk pinjaman pasaran dan RM2.4 bilion dalam pinjaman projek yang berdenominasi terutamanya dalam dolar Amerika Syarikat (AS) sebanyak 56 peratus dan yen Jepu pada 43.9 peratus.

“Instrumen patuh syariah menunjukkan komponen penting dalam struktur hutang merangkumi 47.9 peratus daripada jumlah hutang atau RM660.6 bilion,” katanya.

Menurut laporan, terbitan dalam negeri mewakili 98.6 peratus daripada jumlah ini, manakala baki terdiri daripada sukuk global berdenominasi dolar AS.

“Sehingga akhir Jun 2026, instrumen patuh syariah kerajaan mendahului komposisi pasaran hutang Islam sebanyak 43.9 peratus diikuti oleh sektor korporat pada 37.3 peratus dan entiti separa-kerajaan pada 18.8 peratus

“Komposisi ini menggambarkan peranan kerajaan dan komitmen berterusan untuk memperkukuh pertumbuhan landskap kewangan Islam di Malaysia.

“Selaras dengan strategi pembiayaan Kerajaan, bahagian hutang terkumpul dengan tempoh matang melebihi lima tahun telah meningkat kepada 63.9 peratus,” jelasnya.

Laporan turut menyatakan kerajaan terus memberi keutamaan supaya semua obligasi hutang dilunaskan mengikut jadual seperti yang ditetapkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan perundangan berkaitan hutang.

“Pada 2026, bayaran khidmat hutang (DSC) dianggarkan meningkat sebanyak 6.7 peratus kepada RM57.3 bilion yang merangkumi 15.8 peratus daripada jumlah hasil (2025: RM53.7 bilion; 16 peratus).

“Pembayaran kupon dan keuntungan bagi hutang dalam negeri merupakan sebahagian besar DSC iaitu sebanyak RM56.6 bilion, manakala pinjaman luar berjumlah RM0.7 bilion,” jelasnya.

Asas pelabur institusi domestik yang kukuh menyokong daya tahan pasaran kewangan menerusi pemegangan pemastautin yang besar sebanyak RM1.08 trilion atau 78.5 peratus daripada jumlah keseluruhan hutang sehingga akhir jun 2026.

Pemegangan ini merangkumi pelbagai entiti termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang memiliki pegangan terbesar sebanyak 30.5 peratus diikuti oleh institusi perbankan sebanyak 28.5 peratus.

Dalam pada itu, syarikat insurans memegang sebanyak 5.2 peratus, BNM (3.8 peratus), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) (2.2 peratus), institusi kewangan pembangunan (2.1 peratus) dan lain-lain (6.2 peratus). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini