PERTUMBUHAN ekonomi serantau ASEAN-5 yang merangkumi Indonesia, Malaysia, Thailand, Singapura dan Filipina diunjur berkembang pada kadar 4.1 peratus pada 2026 berbanding 4.5 peratus pada tahun sebelumnya.
Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2027, prospek serantau ini dipengaruhi oleh risiko konflik di Asia Barat, ketegangan perdagangan global, ketidaktentuan harga komoditi, impak perubahan iklim serta faktor politik domestik.
Meskipun beberapa ekonomi mengalami momentum pertumbuhan yang perlahan, kesan tersebut sebahagian besarnya diimbangi oleh eksport berteraskan teknologi yang teguh, permintaan domestik yang kukuh serta perbelanjaan awam yang berterusan, dengan kadar inflasi purata ASEAN-5 diunjur pada 2.6 peratus.
“Ekonomi Indonesia diunjur berkembang sebanyak lima peratus bagi keseluruhan 2026, disokong penggunaan isi rumah yang kukuh serta peningkatan ketara dalam perbelanjaan kerajaan berikutan pemberian bonus perayaan penjawat awam dan program makanan sekolah percuma.
“Kadar pengangguran di Indonesia diunjur pada 4.9 peratus manakala kadar inflasi dijangka mencatatkan 3 peratus ekoran pengaruh penyusutan nilai mata wang rupiah,” katanya.
Tambah laporan itu, ekonomi Singapura diunjur meningkat pada kadar 3.5 peratus bagi tahun 2026, dipacu oleh prestasi kukuh dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan terutamanya membabitkan bidang kecerdasan buatan (AI) serta infrastruktur digital.
Pasaran buruh di Singapura kekal kukuh dengan kadar pengangguran rendah pada 2.1 peratus, manakala kadar inflasi diunjur meningkat kepada 2.6 peratus akibat ketegangan geopolitik dan peningkatan kos perbelanjaan isi rumah.
“Sementara itu, KDNK Thailand diunjur berkembang 1.9 peratus pada 2026 didorong oleh eksport elektrik dan elektronik (E&E) serta pelaburan swasta yang pesat, walaupun perbelanjaan awam dan penggunaan menyederhana.
“Inflasi Thailand diunjur pada kadar 0.9 peratus manakala kadar pengangguran kekal stabil pada 1 peratus, namun perubahan struktur dipacu AI dan kenderaan elektrik (EV) berpotensi memberi risiko cabaran pekerjaan kepada lebih 8.7 juta pekerja,” jelas laporan itu.
Mengulas mengenai Filipina, pertumbuhan KDNK negara itu diunjur menyederhana kepada 3.9 peratus pada 2026 berikutan penurunan ketara dalam perbelanjaan infrastruktur awam, modal pembinaan dan penurunan output perlombongan.
Laporan itu menambah, sektor perdagangan borong dan runcit, pendidikan serta pembuatan terus menyokong ekonomi Filipina, dengan kadar pengangguran diunjur pada 4.7 peratus manakala inflasi berada pada kadar 4.3 peratus akibat krisis tenaga. – UTUSAN











