KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengadakan sesi libat urus lanjut mengenai kerja-kerja menaik taraf Jalan 2/76, Desa Pandan di sini dalam masa terdekat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, sesi libat urus berkenaan akan turut melibatkan sembilan perniaga yang terkesan akibat kerja naik taraf itu.
“Insya-Allah, dalam bulan ini kita akan bertemu lagi dengan mereka untuk berbincang mengenai lokasi penempatan baharu. Ini merupakan sebahagian daripada inisiatif ‘Lestari Niaga’ yang sedang dilaksanakan di Kuala Lumpur.
“Sebahagian peniaga telah bersetuju, namun ada juga yang masih belum bersetuju. Oleh itu, sesi libat urus seterusnya amat penting bagi mencapai persetujuan bersama dan mempercepatkan pelaksanaan projek pelebaran jalan yang sangat penting untuk kemudahan orang ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Peluncuran Projek Kepimpinan Perubahan Iklim dan Tenaga Hijau (IKLIM) Peringkat Wilayah Persekutuan 2025 di sini, hari ini.
Terdahulu, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, cadangan untuk melebarkan laluan sepanjang kurang satu kilometer itu juga tidak wajar kerana bukanlah melibatkan jalan utama.
Beliau berkata, laluan berkenaan hanyalah jalan pintas yang melibatkan jambatan kecil merentasi longkang besar dan pernah menyebabkan sebuah treler tersangkut ketika cuba melaluinya.
Mengulas lanjut, Dr. Zaliha berkata, sesi libat urus terdahulu telah diadakan sejak November lalu dan diteruskan pada Januari lalu, termasuk pemberian notis pengosongan kepada peniaga di kawasan berkenaan.
Jelasnya, beliau turut mengarahkan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk segera mengadakan pertemuan dengan peniaga terbabit serta memberikan pilihan lokasi perpindahan yang sesuai.
“Jadi saya kira mereka tidak perlu bimbang tentang perkara ini. Kita akan bantu menyediakan kemudahan bagi membolehkan mereka terus berniaga,” katanya. – UTUSAN











