KUALA LUMPUR: China menentang sebarang tarif yang tidak munasabah dikenakan Amerika Syarikat (AS).
Menteri Luarnya, Wang Yi berkata demikian ketika ditemui wartawan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 dan mesyuarat berkaitan, hari ini.
“(Kami) menentang tarif yang tidak munasabah,” katanya ringkas.
Wang Yi memberi respon tersebut ketika ditanya sama ada akan mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio yang turut menghadiri mesyuarat sama.
Namun, beliau sebaliknya tersenyum tanpa memberikan sebarang komen.
Terdahulu hari ini, jurucakap Kementerian Luar China, Mao Ning,mengkritik tarif ‘sewenang-wenangnya’ seperti levi 50 peratus ke atas tembaga yang diumumkan oleh Presiden AS, Donald Trump atas alasan keselamatan negara.
Beliau menyifatkan langkah itu sebagai ‘tidak menguntungkan mana-mana pihak’.
Isnin lalu, Trump mula memaklumkan kepada rakan dagang tentang kenaikan mendadak tarif AS bermula 1 Ogos, selepas menangguhkan hampir semua tarif April kecuali 10 peratus, bagi memberi masa kepada negara-negara terlibat merundingkan perjanjian perdagangan dengan ekonomi terbesar dunia itu.
China, yang menjadi sasaran utama dengan tarif melebihi 100 peratus, mempunyai tempoh sehingga 12 Ogos untuk mencapai persetujuan dengan Rumah Putih bagi mengelakkan penguatkuasaan semula sekatan import tambahan yang dikenakan semasa pertukaran tarif balas pada April dan Mei lalu.
Malaysia turut tidak terkecuali apabila dikenakan tarif import sebanyak 25 peratus.
Tindakan itu dimaklumkan secara rasmi melalui sepucuk surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan dipercayai merupakan sebahagian daripada strategi menyeluruh AS untuk menyeimbangkan semula perdagangan antarabangsa.- UTUSAN