KUALA LUMPUR: Pempengaruh media sosial, CEO Batu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Selayang semalam atas pertuduhan menyimpan gambar dan video lucah dalam telefon bimbit miliknya, dua bulan lalu.
CEO Batu atau nama sebenarnya, Muhamad Iqbal Muhamad Nor membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Chai Guan Hock.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyimpan bahan lucah iaitu video dan gambar dalam galeri telefon bimbit miliknya yang dikesan di Pejabat Pegawai Penyiasat, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak pada pukul 11.39 pagi, 22 Mei lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 292 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Birr Zamier Abu Bakar mencadangkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin manakala tertuduh diwakili peguam bela, Nabil Ashraff Ridzuan memohon jaminan itu dikurangkan atas alasan anak guamnya kini tidak mempunyai pendapatan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 September ini untuk sebutan semula kes
Kelmarin, Muhamad Iqbal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang atas pertuduhan amang seksual bukan fizikal terhadap seorang remaja perempuan, dua bulan lalu.
Tertuduh didakwa menunjukkan kemaluannya agar dilihat mangsa berusia 14 tahun di sebuah kediaman di Sunway Batu Caves, dekat sini pada pukul 1.16 pagi, 16 Mei lalu.
Media sebelum ini melaporkan, tertuduh ditahan susulan laporan diterima daripada seorang wanita mendakwa anak perempuannya berusia 14 tahun menerima mesej dan gambar berunsur seksual melalui aplikasi media sosial daripada lelaki berkenaan. – UTUSAN










