KUALA TERENGGANU: Aktiviti tradisional mencandat sotong berpotensi diangkat sebagai ikon pelancongan unik negara yang mampu menarik pelancong antarabangsa khususnya ke Pantai Timur.
Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Datin Rafidah Idris berkata, penganjuran karnival sulung itu dilihat sebagai langkah awal ke arah memartabatkan aktiviti maritim berkenaan sebagai produk pelancongan berimpak tinggi.
“Candat sotong bukan sekadar aktiviti menangkap hasil laut tetapi membawa elemen budaya komuniti nelayan yang sangat menarik untuk diketengahkan ke peringkat global. Tidak mustahil kita jadikan aktiviti ini sebagai imej baharu pelancongan Malaysia bagi menarik lebih ramai pelancong luar.
“Tahun depan, kita sudah merancang penganjuran berskala lebih besar dengan melibatkan penyertaan antarabangsa,” katanya ketika ditemui pada Karnival Candat Sotong 2025 sempena Program Madani Rakyat (PMR) di Payang Walk, di sini.
Menurut Rafidah, pihaknya bersedia bekerjasama dengan kerajaan negeri dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk memperkukuh aspek infrastruktur serta promosi berterusan agar aktiviti itu mampu dikembangkan ke peringkat antarabangsa.
“Kita akan berbincang mengenai bentuk fasiliti dan sokongan yang bersesuaian bagi memastikan pengalaman mencandat sotong benar-benar memenuhi kehendak dan jangkaan pelancong luar,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Terengganu, Datuk Rosli Latif berkata, pihak negeri menyambut baik inisiatif tersebut dan bersedia menerima kedatangan pelancong dalam jumlah yang besar.
“Negeri sangat mengalu-alukan kehadiran mereka untuk menyertai dan merasai sendiri pengalaman mencandat sotong di Terengganu. Namun, saya berpandangan kita boleh tambah baik dari segi kemahiran tekong-tekong tempatan supaya mereka tahu cara melayan pelancong dan sekurang-kurangnya tahu asas Bahasa Inggeris,” katanya.
Musim mencandat sotong menjadi aktiviti warisan masyarakat nelayan Terengganu yang lazimnya berlangsung antara Mei hingga Ogos setiap tahun dan kini diangkat sebagai antara tarikan utama pelancongan negeri. – UTUSAN











