PETALING JAYA: Pelakon, Aedy Ashraf, mengakui sudah menjadi rahsia dalam kalangan pelakon untuk mengalami situasi sukar mengeluarkan sesuatu karakter yang sudah sebati dalam diri.
Jelas Aedy, semasa menonton teater Persiapan Seorang Aktor, dia terkenang fasa di mana dirinya bergelut untuk melepaskan beberapa karakter namun bersyukur kerana ada pihak yang mewakilinya menceritakan keadaan itu.
“Saya fikir mungkin banyak pelakon mengalami situasi ini. Bila tengok teater ini saya jadi terimbau kembali keadaan saya di fasa susah mahu bawa keluar beberapa karakter.
“Setiap karakter yang dibawa ibarat mengalir dalam urat nadi dan darah.
“Rupanya semua pelakon ada alami situasi itu cuma kita kena tahu macam mana kita nak pastikan ia disalurkan di tempat yang betul,” katanya.
Aedy ditemui Utusan Malaysia di teater Persiapan Seorang Aktor di Petaling Jaya Performing Arts Centre pada Jumaat.
Jelas Aedy, sehingga kini dia tidak pernah ‘mengeluarkan’ karakter tersebut, malah watak-watak itu kekal berada dalam diri.
“Mesti ada yang tertanya-tanya apa saya buat untuk hilangkan karakter itu, sebenarnya, benda (karakter) itu tak hilang pun. Ada saja dalam diri.
“Buktinya masih ada lagi orang percaya Beeja kena tahan atau orang panggil saya dengan nama karakter. Apapun, bagi saya ia benda yang baik,” tambahnya.
Teater Persiapan Seorang Aktor mengisahkan tentang seorang pelakon, Sadiq Saufi, yang sangat obses dengan seni lakon sehingga mengabaikan kehidupan peribadinya.
Dia bercita-cita menjadi pelakon terhebat sepanjang zaman, lebih hebat daripada pelakon terkenal dunia.
Teater yang memenangi The Best Of 2024 dan trofi Skrip Asal Terbaik pada Anugerah Seni BOH Cameronian Ke-20 itu sedang ditayangkan di Petaling Jaya Performing Arts Centre setiap hari sehingga 20 Julai. -UTUSAN