PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini mendedahkan wujud kes seorang bayi berusia tiga bulan dirogol malah, perbuatan terkutuk itu dirakam sebelum video rakaman itu dijual.
Beliau bagaimanapun tidak memperincikan perkara itu dan menganggap ia perlakuan tidak masuk akal sama sekali.
“Baru-baru ini, saya diberi taklimat pada pukul 12.30 tengah malam. Kalau sudah waktu (tengah malam), maknanya ia (perkara) serius.
“Sekarang ini sudah berlaku satu keadaan yang teruk, tak terjangkau dek akal. Bayi umur tiga bulan kena rogol, divideokan dan (rakaman) dijual video itu. Itu sudah dikira gila,” katanya tanpa mendedahkan kes itu berlaku ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KDN di sini, hari ini.
Sementara itu, pada sidang akhbar selepas majlis itu, Saifuddin menjelaskan, beliau tidak mahu memperincikan isu itu kerana tidak mahu ia dijadikan polemik dalam kalangan masyarakat.
“Tapi kalau sudah berlaku macam itu, sekalipun satu kes. Kita tidak akan mengabaikannya sebaliknya segera susun dan semak balik apakah keupayaan pasukan polis kita mampu menanganinya.
“Itu objektif utama kita. Jadi sebab itu rakan-rakan media kena tengok dari sudut itu, bukannya tengok dari segi nilai berita dan sensasinya. Kena tengok di sebalik tujuan saya mengungkap atau berkongsi tajuk itu dalam konteks kita. Jadi saya tak akan jawab di mana dan siapa mangsa,” katanya.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, pihaknya kini sedang merancang untuk memperkasakan D11 Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah.
Sementara itu, Saifuddin menegaskan, Malaysia tidak akan membenarkan mana-mana pihak menjadikan negara ini sebagai platform merekut atau mengutip dana bagi aktiviti keganasan.
Mengulas mengenai kejayaan polis menumpaskan Gerakan Militan Radikal Bangladesh baru-baru ini, katanya, pihaknya tidak akan berkompromi jika ada aktiviti terbabit dikesan di negara ini, biarpun sasaran kumpulan itu untuk menjatuhkan kerajaan negara asal mereka.
“Kejayaan ini menunjukkan bahawa tahap perisikan kita berada pada tahap yang terbaik. Kerana itu kita dapat menanganinya dan kita tidak akan sama sekali berkomrpomi dalam isu terkait dengan keganasan seumpama ini,” katanya. – UTUSAN