IPOH: Bapa mentua Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin meninggal dunia hari ini selepas lebih dua minggu kejadian kebakaran rumah yang menyebabkan isterinya maut.
Allahyarham Datuk Abdul Ghani Ngah, 83, menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini sekitar pukul 2 petang.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 9.15 malam 19 Jun lalu di Jalan Raja Abdullah, Kampung Sungai Rapat Tambahan di sini, kediaman dua tingkat milik keluarga mentua Ketua Pembangkang itu terbakar melibatkan sebuah bilik di tingkat bawah.
Ibu mentua Hamzah, Datin Salmiah Nyak Matt, 84, yang mendiami bilik tersebut disahkan maut manakala suaminya yang berada di bilik tingkat atas pula mengalami sesak nafas akibat terhidu asap.
Empat mangsa lain berusia 18 hingga 49 tahun termasuk pembantu rumah yang turut berada di kediaman itu ketika kejadian berlaku tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sebelum ini, anak mangsa, Ahmad Ikhwan, 57, dilaporkan berkata, bapanya yang dibawa keluar oleh pasukan penyelamat dihantar ke HRPB untuk rawatan dan ditidurkan bagi proses pemulihan. – UTUSAN