BERA: Walaupun meninggal dunia sebelum sempat menerima bantuan rawatan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), permohonan dibuat Allahyarham Muhammad Firdaus Razali, 31, tidak sia-sia kerana ia bertukar kepada pencen penakat untuk balu dan tiga anaknya.
Muhammad Firdaus yang menghidap penyakit buah pinggang tahap lima menghembuskan nafas terakhir pada 22 Jun lalu iaitu seminggu selepas permohonan dibuat.
Isterinya, Siti Aishah Abu Bakar, 28, berkata, sebelum ini arwah bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan sekitar RM4,000 sebulan.
“Sejak awal tahun ini, kesihatan arwah merosot dan tidak lagi mampu bekerja. Arwah mengalami sakit kepala berpanjangan selama dua minggu. Pada awalnya kami sangka sebab penyakit darah tinggi.
“Selepas menjalani pemeriksaan di klinik, doktor beritahu dia menghidap penyakit buah pinggang tahap lima,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Taman Kerayong Impian di sini.
Siti Aishah berkata, sebaik sahaja disahkan menghidap penyakit buah pinggang Januari lalu, suaminya menolak menjalankan dialisis kerana kos rawatan yang tinggi.
“Suami tidak mahu buat rawatan sebab kos untuk satu sesi rawatan sudah melebihi RM200. Walaupun doktor kata perlu segera buat dialisis, tapi suami menolak,” katanya.
Katanya, pada awal Mei lalu, berikutan keadaan kesihatan yang semakin teruk, arwah akhirnya bersetuju untuk mendapatkan rawatan dialisis.
“Pada hari kedua sambutan Hari Raya Aidiladha lalu, ada kawan ajak suami ke rumah Datuk Sabariah Saidah (Ahli Dewan Undangan Negeri Guai) yang kebetulan menganjurkan ibadah korban.
“Selepas berjumpa Datuk Sabariah, beliau segera membantu menguruskan permohonan bantuan Perkeso. Namun, seminggu kemudian suami saya pergi buat selama-lamanya,” katanya.
Kini, Siti Aishah menerima pencen penakat bernilai RM2,700 sebulan seumur hidup, selain faedah pengurusan jenazah RM3,000. – UTUSAN