Trump mahu senarai hitam negara tahan rakyat AS

Trump mahu senarai hitam negara tahan rakyat AS

DONALD TRUMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan usaha baharu untuk menyenarai hitam negara-negara yang didakwa menahan warganya secara tidak adil, dengan mengenakan tindakan tegas termasuk larangan perjalanan.

Dalam satu perintah eksekutif yang dikeluarkan Jumaat, Trump menyatakan AS akan melabel negara-negara tersebut sebagai ‘penaja penahanan salah oleh negara’ mirip dengan amalan melabel negara sebagai penaja keganasan.

“Dengan perintah eksekutif ini, anda menetapkan satu garis yang jelas rakyat Amerika tidak akan dijadikan alat tawar-menawar,” kata pembantu Trump, Sebastian Gorka, dalam sidang media di Pejabat Oval.

Walaupun senarai negara yang dimaksudkan belum diumumkan secara rasmi, seorang pegawai kanan berkata China, Iran dan Afghanistan akan disemak kerana didakwa kerap menggunakan ‘diplomasi tebusan’.

Negara-negara yang tersenarai akan dikenakan sekatan dan kawalan eksport oleh AS, serta pegawai yang terlibat dalam penahanan tersebut akan diharamkan memasuki AS.

Dalam satu langkah yang jarang diambil, Jabatan Negara AS juga boleh menghalang rakyatnya daripada mengunjungi negara yang berada dalam senarai hitam tersebut.

Setakat ini, AS hanya melarang perjalanan warganya ke Korea Utara, susulan penahanan pelajar Amerika, Otto Warmbier, pada 2016 yang kemudian meninggal dunia selepas dibebaskan dalam keadaan koma.

Senarai hitam baharu ini juga boleh menyasarkan kumpulan yang menguasai wilayah tertentu tetapi tidak diiktiraf sebagai negara.

Sejak beberapa pentadbiran lalu, membebaskan rakyat AS yang ditahan di luar negara menjadi keutamaan utama, termasuk menjalankan rundingan pertukaran tahanan dengan Rusia dan negara lain.

Trump turut memuji rekodnya membebaskan 72 tahanan sepanjang tempoh pemerintahannya.

Menurut seorang pegawai AS, perintah eksekutif ini akan memudahkan tindakan tanpa melalui proses yang rumit.

AS juga berhak mengeluarkan mana-mana negara daripada senarai hitam jika mendapati negara itu sudah mematuhi peraturan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN