SEREMBAN: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) kini bergantung kepada pengakuan bapa dan ibu kandung dua beradik yang lemas di Sungai Linggi ekoran status agama mereka yang masih diragui.
Pengarahnya, Mohd. Asri Abdullah dilaporkan berkata, pihaknya menerima permohonan polis untuk pengesahan agama mangsa selepas bapa mereka mendakwa kedua-duanya telah diislamkan di Kelantan.
Bagaimanapun, semakan dengan jabatan agama di Kelantan mendapati tiada rekod pengislaman.
“Kita sedang mengenal pasti status agama dua beradik berkenaan selepas timbul kekeliruan susulan nama mereka dalam dokumen peribadi adalah nama Cina,” katanya ketika dihubungi semalam.
Malah semakan JHEAINS juga tiada rekod menyatakan dua beradik ini beragama Islam, justeru buat masa ini jabatan tersebut bergantung kepada pengakuan bapa dan ibu kandung kanak-kanak berkenaan yang jika disahkan Islam, JHEAINS akan menguruskan pengebumian.
Sementara itu seorang nelayan, Aded Mos, 47, berkata, dia masih terbayang-bayang keletah dua beradik itu dan sukar melupakan wajah mereka selepas kereta dinaiki bersama keluarga menggelongsor ke dalam Sungai Linggi, Tanjung Agas di sini, Khamis lalu.
Menurutnya, pertemuan dengan keluarga terbabit minggu lalu ketika memancing membuatkan dia mesra dengan kedua-dua kanak-kanak berusia enam dan lapan tahun itu.
“Kanak-kanak lelaki dipanggil Irfan, manakala adiknya Puteri Farissa. Mereka peramah, bijak dan sentiasa ceria. Malah si adik sepanjang memancing tidak pernah menanggalkan tudung. Keletah itu membuatkan saya teringat-ingat,” katanya ketika ditemui semalam.
Susulan kejadian, bapa mangsa dan seorang wanita yang juga kekasihnya direman tujuh hari bagi membantu siasatan ekoran kenyataan berbeza daripada mereka.
Ibu kandung kedua-dua mangsa juga sedang dikesan pihak polis. – UTUSAN










