SEREMBAN: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) sedang mengenal pasti status agama dua beradik masig-masing berusia enam dan lapan tahun yang meninggal dunia selepas lemas di Tanjung Agas, Linggi, Port Dickson, kelmarin.
Pengarah JHEAINS, Mohd. Asri Abdullah berkata, pihaknya telah menerima permohonan daripada pihak polis berhubung status agama bagi dua beradik berkenaan susulan nama yang tertera di dokumen peribadi adalah nama orang Cina.
Bagaimanapun menurutnya, suspek lelaki yang dipercayai bapa dua beradik berkenaan memaklumkan kedua-dua anaknya itu telah diislamkan di Kelantan.
“Jadi kami telah semak dengan jabatan agama di Kelantan namun tiada rekod dua beradik ini telah diislamkan. Di pihak kami juga, tiada rekod menyatakan dua beradik yang maut ini beragama Islam.
“Buat masa ini kami bergantung kepada pengakuan daripada suspek serta ibu kandung dua beradik berkenaan yang dipercayai berbangsa lain. Bapa (suspek) ada bin (namun) anaknya dua-dua nama Cina.
“Sekarang kami tunggu pengesahan daripada pihak polis dan juga pengakuan daripada mak ayah dua beradik yang ini. Kalau dia kata anak dia Islam kami akan uruskan pengebumian,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Semalam media melaporkan, Unit Forensik Hospital Port Dickson lengang tanpa kehadiran waris bagi menuntut jenazah seorang kanak-kanak lelaki dan kakaknya yang meninggal dunia akibat lemas selepas kereta dinaiki mereka menggelongsor ke dalam Sungai Linggi di Tanjung Agas, Linggi, Port Dickson, kelmarin.
Susulan nahas itu, seorang lelaki berusia 46 tahun yang merupakan bapa kanak-kanak berkenaan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan bermula semalam.
Turut direman seorang wanita yang juga kekasih kepada suspek lelaki berkenaan. Ia bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Kelmarin. Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, kedua-dua suspek itu ditahan selepas memberikan keterangan meragukan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson selepas insiden berkenaan.
“Semakan rekod lampau terhadap suspek lelaki didapati terdapat sebanyak 16 kes di mana empat kes masih dikehendaki (wanted) manakala suspek wanita tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
“Hasil saringan ujian air kencing kedua-dua suspek bagaimanapun adalah negatif. Dalam pada itu, semakan ke atas kereta terbabit didapati merupakan kenderaan yang dilaporkan hilang,” katanya. – UTUSAN







