SEREMBAN: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) menahan seorang wanita selepas didakwa menghina atau mencela agama Islam serta makan dan minum secara terbuka di platform media sosial.
Pengarahnya, Datuk Mohd Asri Abdullah berkata, hasil siasatan mendapati wanita berusia 27 tahun itu telah membuat siaran langsung pada 22 Februari lalu pada pukul 6.45 petang bagi berinteraksi bersama pengikutnya sebelum bertindak makan dan minum secara terbuka sepanjang siaran langsung itu berlangsung.
Menurutnya, wanita itu telah ditahan di Kuala Pilah semalam bagi siasatan lanjut.
“Sepanjang siaran langsung tersebut, wanita berkenaan didapati makan dan minum secara terbuka sehingga menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat Islam.
“Susulan itu, JHEAINS telah mengambil tindakan menahan pemilik akaun TikTok berkenaan pada semalam untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Rakaman siaran langsung wanita tersebut tular selepas dia dilihat makan dan minum pada waktu siang ketika Ramadan serta mendakwa dirinya sedang berpantang.
Mod Asri berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 50 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 berkaitan kesalahan penghinaan atau pencelaan terhadap agama Islam.
Sehubungan itu, orang ramai khususnya umat Islam dinasihatkan supaya sentiasa peka terhadap sensitiviti agama dan menghormati bulan Ramadan yang mulia dengan menjaga adab serta tingkah laku termasuk ketika menggunakan media sosial. – UTUSAN










