Polis ronda sekolah asrama: JPNPP bersikap terbuka, sedia beri kerjasama

Polis ronda sekolah asrama: JPNPP bersikap terbuka, sedia beri kerjasama

MOHAMAD Dziauddin Mat Saad (kiri) ketika berucap pada Majlis Sanjungan Budi Anta Permana sempena persaraan Pengetua SMK Bukit Jambul, Zaharah Abdullah (kanan) di George Town, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) menyambut baik usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melaksanakan rondaan di sekolah-sekolah berasrama dalam usaha membantu mencegah kejadian buli daripada berleluasa.

Pengarahnya, Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata, pihaknya bersikap terbuka dalam hal ini dan bersedia untuk membuka seluas-luasnya ‘pintu’ kepada pihak berkuasa bagi tujuan berkenaan.

“Kami sambut baik usaha ini dan satu mesyuarat juga akan diadakan dalam masa yang terdekat bersama PDRM, JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat), Kementerian Kesihatan (KKM) serta beberapa agensi lain bagi menilai bentuk keperluan dalam kerjasama tersebut,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sanjungan Budi Anta Permana sempena persaraan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jambul, Zaharah Abdullah di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, polis Pulau Pinang sedia menggerakkan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan kereta peronda polis (MPV) untuk menjalankan rondaan di sekolah-sekolah berasrama khususnya pada waktu malam.

Ketua Polis negeri, Datuk Azizee Ismail berkata, langkah itu diambil bagi mencegah kejadian buli serta memastikan kehadiran polis dirasai di kawasan sekolah.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad Dziauddin berkata, pihaknya kini sedaya upaya sedang berusaha untuk mengubah persepsi masyarakat berhubung keselamatan pelajar di sekolah dan memberi jaminan akan pelaksanaan langkah-langkah berkaitan bagi mengelak sebarang bentuk kecuaian berlaku.

Untuk itu, katanya, beliau sendiri telah turun padang bagi melakukan lawatan mengejut ke beberapa buah asrama untuk melihat persediaan dan keadaan sebenar berlaku tanpa memaklumkan kepada pihak pentadbiran.

“Saya lihat dalam laporan berita-berita mengenai keluhan dan kebimbangan masyarakat berhubung keselamatan asrama sekolah. Tapi, di peringkat kita (JPNPP) sendiri, kita telah memaklumkan dan berbincang dengan pihak pengetua tentang bagaimana langkah keselamatan itu diutamakan.

“Justeru, saya beri jaminan bahawa memang kita telah ambil segala langkah-langkah keselamatan melalui dasar sekolah selamat. Kita kalau boleh memang nak elakkan ebarang kecuaian dan akan cuba sedaya upaya menyakinkan ibu bapa (mengenai keselamatan di asrama),” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN