Bantu kelab sukan komuniti cungkil bakat bola sepak seawal kanak-kanak

Bantu kelab sukan komuniti cungkil bakat bola sepak seawal kanak-kanak

ADLI Hafdzan (Tengah) bersama barisan jurulatih dan pemain-pemain bola sepak kanak-kanak Kelab Lestari Vipers pada majlis penyerahan tajaan jersi di Seri Kembangan, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Syarikat-syarikat korporat di negara ini disaran untuk tampil memberikan sokongan dalam apa jua bentuk bantuan demi membantu kelab-kelab sukan komuniti khususnya dalam pembangunan sukan bola sepak dalam kalangan anak muda.

Pengarah Urusan Syarikat Ezcommerce Sdn. Bhd, Adli Hafdzan berkata, sokongan seumpama itu amat penting dalam membantu kelab-kelab sukan ini dalam mencungkil bakat seawal usia kanak-kanak yang bergerak aktif di kawasan komuniti.

Dalam hal ini, pihaknya memilih Kelab Lestari Vipers sebagai rakan strategik selepas melihat komitmen dan konsistensi ditunjukkan kelab ini dalam mencungkil bakat-bakat baharu sukan bola sepak secara berterusan.

“Selain itu, struktur organisasi Kelab Lestari Vipers juga agak tersusun dan itu menarik minat kami untuk menjalin kerjasama.

“Saya menyeru agar lebih banyak syarikat tampil membantu kelab-kelab komuniti yang sering berdepan kekangan dana, terutama bagi yang baru ingin bertapak,” katanya ketika majlis penyerahan jersi itu di Seri Kembangan, Selangor, baru ini.

ADLI Hafdzan (tiga kanan) menyerahkan jersi sebagai simbolik penajaan kepada Presiden Kelab Lestari Vipers, Mohd. Tarmizie Mohd. Shahidan.

Syarikat pengeluar produk kesihatan itu menaja sejumlah 160 jersi untuk kegunaan latihan dan perlawanan pasukan Lestari Vipers untuk semua kumpulan umur bermula 6 tahun hingga 17 tahun.

Adli berkata, pendekatan menyokong sukan komuniti bukan sahaja mengukuhkan tanggungjawab sosial korporat (CSR), malah berpotensi membuka peluang kerjasama yang lebih luas di masa hadapan.

Katanya, program dan aktiviti kelab ini berkait rapat dengan misi syarikat untuk menggalakkan masyarakat menjaga kesihatan yang mengutamakan gaya hidup sihat melalui penghasilan produk-produk berasaskan kesihatan.

“Jadi, penajaan ini memberi manfaat bukan sahaja kepada jenama kami, malah turut menyokong komuniti sukan tempatan untuk jangka masa panjang.

“Kita tak perlu beri bantuan besar, tapi sokongan kecil yang berterusan daripada syarikat-syarikat ini boleh membantu kelab untuk terus bertahan. Bila digabungkan, sumbangan-sumbangan ini boleh memberikan impak yang besar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN