KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040) bakal membawa pelbagai impak langsung kepada kehidupan harian warga kota menerusi pendekatan pembangunan lebih mampan, inklusif dan berorientasikan komuniti.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah Mohd. Sharif berkata, dalam tempoh lima tahun pertama pelaksanaan PTKL2040, penduduk ibu negara dijangka dapat melihat perubahan ketara dalam persekitaran fizikal, kemudahan awam dan akses perumahan lebih menyeluruh.
Katanya, antara inisiatif utama termasuk sasaran 762,500 unit rumah menjelang 2040, dengan 40 peratus daripadanya diperuntukkan untuk kategori mampu milik.
“Sebanyak lapan tapak juga telah dikenal pasti bagi projek Perumahan Awam Sewa Bersubsidi (PASS) sebagai pilihan kediaman alternatif untuk golongan B40 dan sebahagian M40.
“PTKL2040 menyasarkan sebanyak 30 peratus daripada 139 kawasan yang dikenal pasti akan dimulakan untuk pembangunan semula dengan fokus kepada kawasan brownfield, greyfield dan kawasan berpenghuni yang tidak lagi berdaya saing demi meningkatkan kualiti persekitaran dan kehidupan penduduk,” katanya dalam temubual bersama Utusan Malaysia baru-baru ini.
KEMUDAHAN AWAM LEBIH FLEKSIBEL
Bagi menjamin akses saksama kepada kemudahan awam, PTKL2040 telah mengenal pasti tapak bagi pembangunan pelbagai kemudahan utama dalam tempoh perancangan termasuk 20 tapak pendidikan, lima tapak kesihatan, enam tapak balai bomba dan tiga tapak balai polis.
Pelan ini turut menekankan konsep reka bentuk inklusif dan mesra semua golongan termasuk Orang Kelainan Upaya (OKU), warga emas dan kanak-kanak.
SOKONGAN PENGANGKUTAN AWAM
Maimunah berkata, selaras dengan hasrat menjadikan Kuala Lumpur sebagai ‘bandar tanpa sempadan’, PTKL2040 menyasarkan pecahan penggunaan pengangkutan awam sebanyak 70 peratus berbanding 30 peratus kenderaan persendirian.
Menurut beliau, ini akan direalisasikan melalui peluasan rangkaian rel bandar termasuk cadangan Mass Rapid Transit Laluan 3 (MRT3) dan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (High-Speed Rail, HSR) serta perkhidmatan komuter bandar.
Selain itu, pelan ini akan mempertingkat sistem pengangkutan sedia ada seperti Transit Bas Rapid (Bus Rapid Transit, BRT) dan perkhidmatan Go Kuala Lumpur (GoKL).
“Laluan pejalan kaki, lorong basikal dan sistem perkongsian kenderaan mikro seperti skuter elektrik juga akan diperkasa.
“Reka bentuk berasaskan akses sejagat dan sistem pengangkutan pintar yang dilengkapi maklumat masa nyata akan membantu merapatkan jurang antara kawasan serta memudahkan pergerakan rakyat,” ujarnya.
RANGKAIAN HIJAU DAN RUANG REKREASI
Kata Maimunah, konsep ‘Green Connector’ yang diperkenalkan melalui PTKL2040 pula dijangka meningkatkan ketersambungan kawasan hijau dan rekreasi merentasi bandar raya.
Jelasnya, melalui 254.4 kilometer rangkaian penghubung taman, ruang hijau dan rizab sungai akan diintegrasikan secara fizikal yang berfungsi untuk membentuk jaringan ekologi bandar yang mampan dan saling menyokong.
“6 rangkaian utama penghubung taman yang telah dikenal pasti adalah Bandar Utara, Wangsa Maju – Titiwangsa, Pudu Ulu – Alam Damai, Bukit Jalil – Bohol dan Bukit Kiara – Kerinchi.
“Konsep ini bukan sahaja meningkatkan akses kepada ruang hijau dan rekreasi, malah menyumbang kepada pemeliharaan biodiversiti bandar serta mengalakkan gaya hidup sihat dan aktif,” jelasnya.

SOKONGAN KEPADA EKONOMI TEMPATAN DAN USAHAWAN KECIL
Dalam memastikan keseimbangan sosial, pelan ini turut memberi tumpuan kepada penyediaan ruang niaga mampu milik terutama di kawasan kediaman berintensiti tinggi untuk menyokong usahawan kecil dan ekonomi komuniti setempat.
Selain itu, pembinaan hab komuniti di kawasan kejiranan akan menyediakan ruang interaksi sosial, aktiviti pendidikan dan program kemasyarakatan. Perancangan kemudahan turut merangkumi pusat perlindungan haiwan bagi menangani isu kacau ganggu, menjaga keselamatan awam dan memastikan kebajikan haiwan terus terpelihara.
KOLABORASI STRATEGIK PELBAGAI PIHAK
Beliau berkata, penyediaan PTKL2040 melibatkan lebih 90 sesi libat urus sejak 2019 termasuk dengan agensi kerajaan, pemaju, badan profesional, Ahli Parlimen, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat awam.
“Libat urus ini penting bagi memastikan perancangan bandar dibuat secara menyeluruh dan mengambil kira keperluan sebenar warga kota.
“Pendekatan ini diambil bagi memastikan input yang diperoleh bersifat menyeluruh dan menyumbang kepada penyediaan pelan yang lebih lengkap dan komprehensif,” katanya lagi.
KUALA LUMPUR BANDAR UNTUK SEMUA
Kata beliau lagi, PTKL2040 menekankan prinsip keadilan sosial dan keseimbangan pembangunan, agar tidak hanya tertumpu kepada golongan berpendapatan tinggi.
“Kita ingin pastikan semua aspek termasuk aspek penyediaan dan perancangan kemudahan awam agar dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang ekonomi, umur, keupayaan fizikal mahupun lokasi kediaman.
“Dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif yang berpaksikan kesejahteraan rakyat, kita percaya Kuala Lumpur mampu menjadi sebuah bandar yang lebih selesa, selamat, inklusif dan seimbang menjelang tahun 2040,” katanya.
PTKL2040 dirangka dengan visi menjadikan Kuala Lumpur sebagai Bandar Untuk Semua, melalui perancangan yang berpandangan jauh, berdaya tahan dan mendahulukan rakyat dalam setiap aspek pembangunan. – UTUSAN