KUBANG PASU: “Ayah pesan jangan bersedih, kami akan tengok kakak dari jauh. Tak apa ramai akan jaga kakak nanti.”
Demikian kata anak sulung Mohamad Azim Izat Ishak, 32, yang bermimpi pesanan arwah bapanya yang lemas bersama ibu dan empat adiknya di Sungai Korok, Jitra.
Putri Qisya, 12, yang sekelip mata menjadi yatim piatu berkata, dia bermimpikan arwah bapanya itu pada awal pagi sebelum menerima berita kematian mereka semalam.
“Saya tertidur di sofa pagi tadi tiba-tiba arwah ayah datang dengan wajah putih berseri dan beritahu, ‘Jangan sedih, kami tengok kakak dari jauh. Tak apa ramai yang akan jaga kakak nanti.’ Kemudian menghilang.
“Saya terjaga dengan perasaan berdebar sebelum ternampak berita kematian mereka di media sosial,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini semalam.
Kata Putri Qisya, dia tidak terlibat dalam kemalangan itu setelah tidak mengikuti keluarganya bermalam di rumah ibu saudara di Taman Sri Aman, Jitra pada malam Jumaat lalu.
“Selalunya memang saya ikut mak dan ayah tetapi malam itu saya rasa macam malas nak ikut. Saya beritahu arwah dan mereka benarkan saya tinggal dengan nenek di Jerlun. Saya langsung tak sangka perkara ini akan berlaku.
“Apabila mereka tidak pulang seperti sepatutnya hari Sabtu itu, saya sudah rasa berdebar-debar. Saya dan mak saudara keluar mencari mereka di merata tempat, di semua sungai berdekatan kami pergi,” katanya.
Ketika ditanya tentang perubahan sikap ahli keluarganya itu, Putri Qisya memberitahu, ketiga-tiga adiknya itu kelihatan lebih manja tidak seperti sebelum ini.
“Mereka jadi manja pada malam sebelum keluar itu, adik-adik semua datang peluk saya dan mengusik saya kerana, kata mereka rugi sebab tidak ikut mereka.
“Sekarang saya baru perasan, apa yang mereka maksudkan rugi itu. Mereka pergi berenam dalam keadaan yang sangat mulia kerana lemas,” katanya dengan nada sedih.
Katanya, dia memilih untuk menetap dengan ibu saudaranya, Nur Adliah Syuhada Ishak, 26, yang menetap di Taman Sri Aman selepas ini.-UTUSAN










