KUALA LUMPUR: Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menafikan dakwaan bahawa lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Perancis baru-baru ini tidak mendapat layanan sewajarnya sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Sebaliknya, beliau berkata, lawatan itu merupakan persinggahan singkat yang diatur ketika Anwar dalam perjalanan ke Rio de Janeiro, Brazil bagi menghadiri sidang kemuncak BRICS, bukannya satu lawatan rasmi sepenuhnya.
“Kami (Wisma Putra) sebenarnya menerima jemputan daripada dua negara iaitu Itali dan Perancis dan jemputan itu sudah lama diterima.
“Maka dalam perjalanan ke Brazil, Perdana Menteri mengambil peluang untuk singgah ke Perancis. Perdana Menteri tetap menerima layanan protokol penuh termasuk pemeriksaan barisan kehormatan walaupun ia bukan lawatan rasmi,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN–Machang) yang mempersoalkan tahap layanan dan protokol sambutan terhadap Anwar sebagai Pengerusi ASEAN berbanding kunjungan rasmi Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.
Jelas Mohamad, meskipun bukan bersifat rasmi, lawatan itu tetap membawa nilai strategik penting apabila Perdana Menteri berpeluang mengadakan pertemuan dua hala bersama Presiden Perancis, Emmanuel Macron, diikuti pertemuan serupa di Itali.
“Jika pada masa akan datang kita mengadakan lawatan rasmi sepenuhnya ke Perancis, saya yakin layanan dan sambutan yang diberikan adalah setaraf dengan negara-negara lain yang menerima kunjungan rasmi daripada Malaysia,” katanya.-UTUSAN










