PETALING JAYA: Vokalis Wings, Datuk Awie, menggesa penyanyi rock, Datuk Amy, mengeluarkan kenyataan bagi membersihkan namanya daripada terpalit dengan dakwaan serangan di sesi latihan Konsert Ulang Tahun MR D.I.Y, baru-baru ini.
Menurut Awie, sejak insiden membabitkan penyanyi, Shila Amzah diperkatakan, namanya turut terkena tempias apabila ada pihak yang mengecamnya di media sosial.
“Amy Search, kau cerita benda betul. Habis semua manusia kepoh tuduh aku!
“Ambillah tanggungjawab ini. Beritahu perkara sebenar.
“Penat dan sesak dada aku nak membaca dan menjawab hal kau!,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook pada Sabtu.
Nama Amy mula menjadi bualan selepas penyanyi, Shila Amzah memuat naik hantaran mengucapkan terima kasih kepada semua penyanyi yang menjayakan konsert malam tadi kecuali vokalis Search itu.
Terdahulu, Shila Amzah, mendakwa dirinya telah diserang secara terbuka oleh seorang artis bertaraf legenda ketika sesi latihan bagi sebuah konsert
Shila turut mendakwa tindakan individu terbabit telah menimbulkan rasa cemas (anxiety) yang memberi kesan terhadap emosi dan keselamatannya sebagai seorang artis.
Warganet mula berteka-teki dan memetik beberapa nama seperti Ella, Datuk Awie dan Datuk Amy Search.
Bagaimanapun, Datuk Awie tampil menafikan dirinya terlibat dengan insiden tersebut. -UTUSAN