Amanah Perak lapor polis gesa siasat Ahmad Fadhli - Utusan Malaysia

Amanah Perak lapor polis gesa siasat Ahmad Fadhli

MOHD. Fitri Asmuni (tiga dari kiri) menunjukkan laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Parti Amanah Negara (Amanah) Perak hari ini membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Pasir Mas yang didakwa memuat naik karikatur seolah-olah menyindir peranan Malaysia dalam rundingan damai antara Thailand dan Kemboja.

Laporan polis tersebut dibuat Pengarah Biro Undang-Undang (Kanun) Amanah Perak, Mohd. Fitri Asmuni di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh sekitar pukul 2.30 petang.

Menurut Mohd. Fitri, tindakan Ahmad Fadhli Shaari yang juga Ketua Penerangan Pas itu bukan sahaja disifatkan sebagai penghinaan malah berunsur provokatif terhadap usaha diplomatik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi ASEAN.

Katanya, sebagai pemimpin dan agamawan, Ahmad Fadhli sepatutnya menunjukkan contoh yang baik serta menyokong sebarang usaha ke arah perdamaian, bukannya menyindir secara tidak bertanggungjawab.

“Sebagai pemimpin, beliau tidak sepatutnya bertindak seperti itu. Tindakan itu tidak matang dan profesional tambahan lagi bagi seorang ustaz.

“Apakah wajah agama yang ingin beliau tonjolkan kepada masyarakat terutama Umat Islam apabila melihat dua pihak yang sedang bertelagah?

“Sepatutnya apabila berlaku pertelagahan antara dua pihak, sebagai orang Islam kita perlu mengambil pendekatan damai, tetapi apa yang dilakukan beliau ini bertentangan dengan apa yang patut dilakukan oleh orang Islam terutama seorang pemimpin,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas membuat laporan polis di IPD Ipoh, di sini hari ini.

Tegasnya, sebagai rakyat Malaysia, semua pihak perlu berdiri di belakang Perdana Menteri dalam menyelesaikan konflik dua negara yang sedang berperang.

Katanya, apa yang dilakukan Ahmad Fadhli itu bukan sahaja biadap malah mengguris hati rakyat negara jiran apabila menggambarkan pemimpin negara mereka sebagai kambing dan biri-biri.

“Laporan polis ini dibuat kerana kita bimbang hantaran beliau yang mengaitkan peperangan yang berlaku antara Thailand dan Kemboja itu boleh menimbulkan kemarahan rakyat negara terbabit.

“Sebagai ahli parlimen, beliau perlu mengangkat nilai demokrasi, menghormati sensitiviti antarabangsa dan tidak mengeruhkan keadaan dengan sindiran sebegitu rupa. Jika dibiarkan, ia boleh dinormalisasikan dan ditiru oleh pihak lain,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Fadhli dikecam hebat di media sosial selepas memuatnaik hantaran tiga watak haiwan iaitu kambing dan biri-biri yang sedang berebut pisang manakala monyet sebagai hakim.

Menerusi hantaran yang turut disertakan artikel mengenai pergolakan antara Thailand dan Kemboja, Ahmad Fadhli menulis ‘kambing dan biri-biri seeloknya tidak perlu kepada monyet untuk menjadi orang tengah dalam kes berebut pisang’. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN