PETALING JAYA: “Daddy sentiasa ingat dan mendoakan Ayden dan Ara. Daddy sangat sayang dan rindukan kalian berdua.”
Demikian luahan penyanyi, Aliff Aziz yang merindukan kedua-dua cahaya matanya, Ayden Adrean dan Ara Adreanna yang kini bahagia di bawah jagaan bekas isteri, Bella Astillah.
Meskipun belum berkesempatan untuk bertemu dengan kedua-dua cinta hatinya itu sejak setahun lalu, Aliff bersyukur Ayden dan Ara dikelilingi dan dijaga dengan baik oleh insan tersayang.
“Saya sangat rindu. Doa saya setiap hari adalah untuk dapat lihat mereka semula, dan sampaikan segala yang saya simpan dalam hati,” katanya menerusi laporan Berita Minggu Singapura.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Sayang Sayang itu menegaskan dirinya tidak berasa cemburu sebaliknya, reda bekas isterinya, Bella kini sudah menemui kebahagiaannya bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq.
Tekad mahu meneruskan kehidupan baru, Aliff lebih memilih untuk memberi tumpuan kepada dirinya sendiri dan mahu melihat Ayden dan Ara disayangi ramai.
“Ayden dan Ara dikerumuni oleh orang-orang yang sayang mereka, insya-Allah.
“Itu yang pertama saya fikir. Siapa pun di sekeliling mereka, asalkan mereka disayangi dan dilayan dengan baik, itu sudah memadai,” katanya.
Menerusi laporan tersebut, penyanyi sensasi itu mengakui sebak untuk melihat rakaman video anak-anaknya selain berharap dapat bertemu dengan mereka suatu hari nanti.
Aliff turut mengakui dirinya dihimpit rasa bersalah kerana tidak dapat berada di samping anak-anak ketika mereka sedang membesar serta bimbang terhadap penerimaan mereka kelak.
Mengakui banyak perkara yang mahu diluahkan kepada anak-anaknya, Aliff kini berdepan dengan dilema sama ada dirinya perlu terus berdiam diri atau mengambil tindakan undang-undang yang mungkin akan mencetuskan ketegangan kembali.
Aliff juga menzahirkan penghargaan buat ibunya, Siti Hafizah kerana tetap mempertahankannya di saat keluarga mereka tidak terlepas daripada tumpuan umum.
Sejak Januari lalu, nama Bella dan Syed Saddiq hangat menjadi bualan ramai selepas didakwa sedang menjalin hubungan istimewa sejak mereka digandingkan sebagai duta sebuah jenama pakaian sehingga diberi gelaran BASS.
Pada 13 Jun tahun lalu, Bella dan Aliff disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan selepas lapan tahun mendirikan rumah tangga.
Selepas perceraian tersebut, Aliff bersetuju memberikan hak penjagaan penuh ke atas dua anak mereka, Ayden, 8, dan Ara, 5, kepada Bella.-UTUSAN