LONDON: Arsenal membuktikan sudah bersedia mencabar kejuaraan selepas menundukkan Nottingham Forest 3-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam.
Pengendali The Gunners, Mikel Arteta berkata, skuadnya kini memiliki kekuatan mendalam untuk bersaing di peringkat domestik dan Eropah, hasil kemasukan beberapa muka baharu musim panas ini.
“Pasukan perlu bermain sehingga 70 atau 74 perlawanan semusim. Dengan intensiti tinggi, mustahil pemain kekal konsisten tanpa kedalaman skuad.
“Standard permainan kami semakin meningkat, kami perlukan lebih ramai pemain berkualiti,” tegas Arteta.
Arsenal membawa masuk penyerang tengah yang lama dinantikan, Viktor Gyokeres, selain Noni Madueke, Eberechi Eze dan benteng muda Cristhian Mosquera yang pantas memberi impak dalam perlawanan menentang Forest.
Madueke yang masuk menggantikan Bukayo Saka tampil cemerlang, manakala Mosquera mengisi kekosongan William Saliba di benteng pertahanan.
Arteta turut melakukan kejutan apabila lebih rela menurunkan remaja 18 tahun, Ethan Nwaneri berbanding bintang England, Declan Rice selepas Martin Odegaard cedera.
Pertaruhan Arsenal ke atas pemain tengah Sepanyol, Martin Zubimendi juga membuahkan hasil apabila beliau meledak dua jaringan melalui sepakan voli menakjubkan dan tandukan kemas sekali gus menutup mulut pengkritik yang mempersoalkan keperluan menambah pemain di posisi itu.
“Zubimendi beri kami kehadiran, kewibawaan dan ketenangan di padang. Jika dia terus menjaringkan gol, ia tambah dimensi baharu buat pasukan,” tambah Arteta. – AGENSI/UTUSAN










