KUALA LUMPUR: Seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun trauma selepas diugut ah long yang mahu menyebar gambar bogelnya gara-gara meminjam wang.
Gadis itu terpaksa berhutang ah long kerana diperdaya sindiket penipuan kerja dalam talian.
Penasihat Eksekutif Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, mangsa dari Ipoh, Perak itu telah menyertai satu kumpulan Telegram yang menawarkan ganjaran wang tunai untuk tugasan mudah.
Menurutnya, mangsa membayar RM30 sebagai yuran permulaan dan menerima RM60 selepas menyiapkan dua tugasan pertama.
“Namun, tugasan ketiga gagal diselesaikan kerana sindiket mendakwa berlaku kesilapan dan mangsa diminta membayar RM1,000 untuk membuka semula bayaran ganjaran.
“Oleh kerana tidak mampu, mangsa meminjam RM1,000 daripada Ah Long dalam talian dan dipaksa menghantar gambar bogel sebagai syarat pinjaman,” katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA, hari ini.
Michael berkata, mangsa cuba meminjam RM3,000 lagi namun ditolak dengan alasan pinjaman lama belum dijelaskan.
“Apabila ibu bapa mangsa mengetahui perkara itu, mereka membayar RM1,500 kepada Ah Long sebagai penyelesaian, dan mereka anggap perkara sudah selesai.
“Namun sindiket kembali menuntut RM15,000 kononnya untuk membetulkan sistem syarikat sambil mengugut menyebarkan gambar bogel mangsa,” katanya.
Michael berkata, keluarga mangsa sudah membuat laporan polis di Perak dan beliau berharap pihak berkuasa termasuk Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan unit siber, dapat bertindak segera.
Sementara itu, Setiausaha Agung Wanita MCA, Ivone Low berkata, kes itu membuka mata kepada isu pinjaman ah long dalam kalangan remaja dan meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat lanjut.
“Mangsa baharu berusia 14 tahun dan dia bukan sahaja menjadi mangsa penipuan kerja dalam talian, malah jadi mangsa pemerasan, justeru kita minta PDRM khususnya oleh Unit Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) melihat kes ini.
”Kita tidak menolak kemungkinan sindiket penipuan dalam talian dan ah long ini didatangi sindiket yang sama, kerana mangsa terpedaya membuat pinjaman menerusi satu iklan yang dikongsi dalam kumpulan Telegram (Telegram yang menawarkan ganjaran wang tunai),” katanya.
Beliau turut mengingatkan ibu bapa memantau aktiviti anak-anak supaya tidak terjerat sindikat penipuan kerja yang semakin agresif menyasarkan remaja.- UTUSAN