MELAKA: Hati pasangan suami isteri yang tinggal di Taman Seri Telok Emas di sini, terus merintih mengenangkan nasib anak bongsu mereka, Nor Alieya Maisarah Mohd. Hassan, 14, yang hilang pada petang 8 Mei lalu.
Kehilangan remaja itu kini memasuki hari ke-60, tanpa sebarang petunjuk meskipun pelbagai ikhtiar dilakukan keluarga termasuk membuat laporan polis seawal hari pertama kejadian.
Ibu mangsa, Noorlaili Mahat, 53, berkata, dia dan suami, Mohd. Hasan Elias, 52, serta dua lagi anak perempuan hanya mampu terus berharap dan berdoa agar Nor Alieya Maisarah selamat, lantas segera pulang ke pangkuan keluarga.
“Hari ini genap 60 hari adik hilang, Mama dan papa terlalu rindu, sudah penat berendam air mata, tak tahu apa lagi perlu dibuat untuk mencari adik.
“Mama berdoa jangan jadi apa-apa pada adik, Mama takut tak dapat terima kenyataan kalau adik dah tiada, tapi hati mama masih kuat rasa adik ada,” katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.
Pada 25 Jun lalu, Utusan Malaysia melaporkan kehilangan pelajar tingkatan dua itu yang keluar rumah pada pukul 4 petang dengan alasan ke kedai, namun tidak pulang sehingga hari ini.
Kehilangan mangsa disedari kakaknya yang mendapati, beg sekolah serta beberapa helai pakaian turut tiada di bilik remaja itu.
Noorlaili berkata, setiap kali terkenangkan mangsa, hanya bantal dan baju sekolah yang belum dibasuh sejak hari kejadian menjadi pengubat rindu.
“Baliklah adik, rumah terlalu sunyi tanpa gelak tawa adik. Siapa pun yang ambil anak saya, kasihanilah kami. Kami tiada harta lain, hanya anak-anak,” katanya.
Mohd. Hasan berharap polis dapat memaklumkan perkembangan siasatan atau sebarang petunjuk kerana dia telah membuat laporan dalam tempoh kurang 24 jam selepas anaknya hilang.
“Saya merayu kepada polis, bantulah kami sekeluarga. Kami sangat berharap ada khabar gembira. Walau sedikit pun petunjuk, sangat besar maknanya buat kami,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Nor Alieya Maisarah boleh menghubungi ibunya di talian 014-3818326. – UTUSAN