UMNO harus henti politik nostalgia, perlu lebih dinamik

UMNO harus henti politik nostalgia, perlu lebih dinamik

JOHARI Abdul Ghani bergambar bersama ahli pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Seremban di Sikamat di sini, hari ini. - UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: UMNO diingatkan supaya tidak terus terperangkap dalam politik nostalgia dan sebaliknya mula bersikap lebih dinamik serta realistik dalam menghadapi landskap politik semasa yang semakin kompleks.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, zaman UMNO menguasai politik negara secara mutlak telah berlalu, dan pendekatan lama tidak lagi berkesan dalam membina sokongan rakyat, terutamanya dalam kalangan pengundi muda.

“Selagi kita masih berpolitik nostalgia, kita akan nostalgia sampai bila-bila. 

“Kita dulu ada majoriti. 11 pilihan raya kita menang dua pertiga. Lepas tu dua Pilihan Raya Umum (PRU) kita dapat majoriti mudah. Sekarang, kita kalah dua kali berturut-turut. Tapi kita masih ada kerusi dan berkongsi kuasa dalam kerajaan.

“Kita tak boleh lagi fikir hanya kita seorang ada kuasa. Hari ini, keadaan menuntut kita berkongsi kuasa. Realitinya, sukar nak dapat majoriti mutlak kerana ideologi setiap berbeza, pengundi pula semakin pelbagai dari segi pemikiran,” katanya kepada pemberita pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Seremban di Sikamat di sini, hari ini. 

Beliau turut memberi contoh Pas yang menurutnya menunjukkan keupayaan politik dinamik dalam pilihan raya, apabila menggunakan logo berbeza mengikut kesesuaian kawasan.

“Patutnya kalau bertanding atas nama Perikatan Nasional (PN), semua pakai lambang PN. Tapi Pas guna strategi berbeza. Di kawasan yang tidak sedia terima PN, mereka guna lambang PAS. Di tempat lain, sebaliknya. Ini dinamika politik yang kena faham,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mengakui bahawa banyak perkara UMNO perlu pelajari dalam realiti politik hari ini, termasuk dalam aspek perkongsian kuasa.

“Bila kita kongsi kuasa, kita tak boleh perangai macam kita masih ada kuasa penuh. Kita kena ada pertimbangan terhadap parti lain kerana berbeza ideologi,” katanya. 

Tambahnya lagi, keperluan menyedari pemikiran berbeza setiap daripada pengundi muda yang mempunyai tahap harapan yang tinggi perlu ditangani sebaiknya. 

“Pengundi muda tak sama macam dulu. Setiap seorang mempunyai harapan tinggi. Di kawasan lebih maju, pemikiran mereka lebih terbuka dan dinamik,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, tanpa kestabilan politik, negara akan terus berhadapan dengan ketidakpastian ekonomi dan pelabur asing akan hilang keyakinan.

“Kalau politik tidak stabil, buatlah apa pun, tiada sesiapa pun (pelabur) berani datang. Tapi kalau kita stabil, ekonomi berkembang dan anak muda yang keluar dari universiti pun dapat pekerjaan kerana ada peluang tersebut, ” ujar Johari. 

Sehubungan itu, beliau menyeru UMNO untuk menerima realiti dan berubah mengikut zaman, meskipun wujud tentangan dalaman daripada segelintir ahli. 

“UMNO perlu terus belajar dan buat yang terbaik. Sudah pasti ada segelintir ahli UMNO yang tidak suka tapi kita kena terima, ini proses baharu, kita kena belajar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN