496 PATI ditahan, rumah dijadikan markas judi online

496 PATI ditahan, rumah dijadikan markas judi online

ANTARA pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan dalam serbuan di Pangsapuri Putra Permai Selesa di sini, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERI KEMBANGAN: Seramai 496 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam serbuan di Pangsapuri Putra Permai Selesa di sini, semalam.

Operasi bersepadu bermula pukul 10 malam itu dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Selangor dengan kerjasama JIM Kuala Lumpur, Pasukan Gerakan Am (PGA), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Tinjauan mendapati, pangsapuri itu dijadikan penempatan PATI malah terdapat tiga unit kediaman yang diubah suai dipercayai menjadi markas judi atas talian.

Turut ditemukan deretan meja dilengkapi tablet selain terdapat buku catatan dan premis diawasi kamera litar tertutup (CCTV) serta pintu dikunci.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Jafri Embok Taha berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan terhadap seramai 741 warga asing dalam serbuan terbabit.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 496 disyaki PATI membabitkan 357 lelaki, 107 wanita serta 32 kanak-kanak telah ditahan.

“Tangkapan melibatkan warga Indonesia, Myanmar, Bangladesh, Nepal, Pakistan, Thailand dan Kemboja.

“Antara kesalahan dikesan, tiada dokumen pengenalan diri, langgar syarat pas, tinggal lebih masa dan pemegang kad tidak diiktiraf. Kebanyakan mereka bekerja di Pasar Borong Selangor, premis berhampiran, sektor pembinaan serta pembantu rumah,” katanya kepada pemberita selepas operasi di sini.

Jafri berkata, lokasi itu antara kawasan `titik panas’ penempatan PATI di Selangor dan operasi bersepadu itu akan dilaksanakan dari semasa ke semasa.

“Operasi penguatkuasaan dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warganegara asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara seperti Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai dan majikan supaya tidak melindungi PATI atau berhadapan tindakan undang-undang.

“Orang ramai disaran tampil menyalurkan maklumat tentang PATI untuk tindakan lanjut Imigresen,” katanya.

Dalam pada itu, Jafri memaklumkan, bermula 19 Mei 2025 sehingga 30 April lalu, Imigresen telah melaksanakan Program Repatriasi Migran 2.0 di mana warga asing boleh pulang ke negara asal dengan bayaran denda sebanyak RM500 dan pas khas sebanyak RM20. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN