PETALING JAYA: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berjaya menggagalkan cubaan empat individu wargan Afghanistan untuk memasuki Malaysia menggunakan visa palsu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA semalam.
Keempat-empat individu dari satu keluarga itu merupakan antara 132 warga asing yang diperiksa dalam operasi pemantauan dan saringan dokumen di KLIA yang dijalankan oleh Unit Pemantau KLIA Terminal 1.
AKPS dalam kenyataan berkata, empat ditahan terdiri daripada seorang lelaki dan tiga wanita dewasa yang telah dikesan berlegar-legar tanpa hala tuju di kawasan terminal KLIA.
“Pergerakan itu telah mencetuskan kecurigaan Pasukan Unit Pemantau dan siasatan awal mendapati kesemua individu tersebut tiba di Malaysia pada 24 Julai lalu pada pukul 9.20 malam menerusi penerbangan EK342 Emirates Airlines,” kata kenyataan itu.
Kata AKPS, hasil soal siasat lanjut mendedahkan bahawa kesemua individu terbabit merupakan penumpang basi, iaitu penumpang yang telah tiba di negara ini tetapi gagal melaporkan diri di kaunter pemeriksaan imigresen dalam tempoh masa yang ditetapkan.
Difahamkan, mereka telah berada di kawasan terminal selama empat hari tanpa melalui proses pemeriksaan Imigresen seperti yang sepatutnya.
“Hasil semakan ke atas dokumen perjalanan mendapati kesemua visa milik mereka adalah palsu selain siasatan lanjut mendapati kesemua mereka mengaku tidak pernah menjejakkan kaki ke Uzbekistan yang kononnya sebagai transit.
“Visa palsu tersebut diperolehi melalui seorang agen dengan bayaran sebanyak RM25,386.00 (AS$6,000),” katanya.
AKPS memaklumkan pihaknya telah mengambil tindakan menolak kemasukan (NTL) ke atas keempat-empat individu berkenaan dan akan dihantar balik ke negara asal esok melalui penerbangan Emirates Airlines.
“Insiden ini sekali lagi membuktikan komitmen berterusan AKPS dalam mengekang kemasukan warga asing melalui modus operandi pemalsuan visa ke negara ini,” katanya.-UTUSAN









