39 penumpang, pemandu serta bas ekspres dikompaun

Tali pinggang keledar: 39 penumpang, pemandu serta bas ekspres dikompaun

MOHD. Misuari Abdullah (dua dari kiri) memeriksan keadaan kenderaan semasa lelongan awam di Pejabat JPJ Panji, Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/ROSMIZAN RESDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Sebanyak 39 kompaun dikeluarkan kepada penumpang, pemandu dan syarikat bas ekspres di Kelantan atas kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar sepanjang tempoh lima hari pelaksanaan Op Tali Pinggang Keledar.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)  Kelantan, Mohd. Misuari Abdullah berkata, daripada jumlah itu, penumpang bas ekspres paling ramai tidak mematuhi undang-undang memakai tali pinggang keledar dengan 31 kompaun dikeluarkan diikuti dengan empat orang pemandu.

Katanya, empat lagi kompaun dikenakan terhadap empat buah bas atas kesalahan tali pinggang keledar tidak berfungsi dan tidak diselenggara.

“Kompaun dikeluarkan susulan arahan kerajaan mewajibkan pemakaian tali pinggang terhadap pemandu termasuk penumpang bas ekspres dan persiaran bermula 1 Julai lalu.

“Sebanyak 162 buah bas ekspres diperiksa membabitkan laluan Kota Bharu ke Kuala Lumpur dan Kota Bharu ke negeri-negeri Pantai Timur dalam tempoh lima hari,” katanya dalam sidang akhbar selepas Lelongan Awam Kenderaan Sita Siri 1/2025 di JPJ Kelantan di Panji di sini, hari ini. 

Mohd. Misuari memberitahu, penumpang, pemandu dan bas ekspres itu masing-masing dikompaun sebanyak RM300 mengikut peruntukan Kaedah 4 dan 4A Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Tali Pinggang Keledar) 1978 (Pindaan) 2008, Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) iaitu bagi kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×