26,236 warga asing ditahan dalam tempoh enam bulan

26,236 warga asing ditahan dalam tempoh enam bulan

ZAKARIA Shaaban (tengah) ketika menyampaikan hadiah kepada peserta IMI Kuala Lumpur Run di Jabatan Imigresen Kuala Lumpur hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 KUALA LUMPUR: Seramai 26,326 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) melalui 6,913 operasi dilaksanakan sejak Januari hingga 3 Julai lalu. 

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya mempertingkatkan operasi bagi menangani isu warga asing dan seramai 97,322 orang daripada pelbagai warganegara telah diperiksa dalam tempoh terbabit. 

Katanya, seramai lebih 1,000 majikan terdiri daripada pelbagai sektor termasuk restoran dan kilang telah diambil tindakan kerana disyaki menggajikan serta melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Statistik setakat 3 Julai ini sudah mencapai 70 peratus petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan.

“Kita percaya sehingga hujung tahun ini akan mencapai lebih banyak sasaran,” katanya kepada pemberita selepas program IMI Kuala Lumpur Run dan Hari Bertemu Pelanggan Peringkat Imigresen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Zakaria berkata, pihaknya juga merekodkan tangkapan warga asing yang dilaksanakan oleh agensi penguat kuasa lain. 

Jelasnya, pihak Imigresen sentiasa memantau dan mengenal pasti lebih 200 titik panas (hotspot) PATI  seluruh negara termasuk di kawasan luar dan pinggir bandar.

“Kita berusaha menangani mereka yang melakukan kesalahan imigresen dan tidak akan berkompromi dengan perkara ini.

“Pelbagai modus operandi PATI yang dikesan. Ada yang masuk sebagai pelancong untuk bekerja dan ada juga yang menggunakan laluan haram,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN