70 peratus kedai tomyam di Alor Setar tiada lesen, kotor, gaji PATI

70 peratus kedai tomyam di Alor Setar tiada lesen, kotor, gaji PATI

ABDUL Gafar Yahya (kanan) mengagih plastik sampah sempena Kempen Kebersihan Bazar dan Penyerahan Beg Sampah kepada peniaga di Bazar Ramadan Peremba, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pemilik kedai tomyam warga asing di bandar ini dikesan menjalankan perniagaan secara haram, selain menggaji pekerja asing tanpa izin (PATI).

Kesalahan itu dikesan melalui operasi Op Tomyam ke atas kedai tomyam milik warga asing yang dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).

Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Gafar Yahya berkata, sebanyak 64 premis makanan Thailand itu diperiksa dalam operasi tersebut, hanya 19 daripadanya mempunyai lesen sah.

Katanya, sebanyak 145 kompaun dan lima notis dikeluarkan ke atas premis berkenaan setelah gagal mematuhi peraturan termasuk tahap kebersihan tidak memuaskan dan pekerja tidak menerima suntikan tifoid.

“Operasi ini kita lakukan setelah menerima aduan daripada penduduk tempatan dan MBAS memandang serius sikap pemilik premis yang tidak mengikuti peraturan ditetapkan.

“Dalam operasi ini kita dapati premis kotor seperti bahan mentah diletakkan di atas lantai, pekerja tiada visa dan tiada suntikan tifoid,” katanya selepas mengadakan Kempen Kebersihan Bazar dan Penyerahan Beg Sampah kepada peniaga di Bazar Ramadan Peremba, di sini semalam.

Tambah beliau, semua pengusaha premis makanan itu perlu mengemukakan permohonan lesen daripada MBAS bagi mengelak tindakan tegas.

“MBAS akan bertemu mereka minggu depan untuk mendapatkan status terkini tentang perkara ini termasuk berkaitan visa pekerja asing dan meminta mereka memperoleh lesen sebelum dibenarkan berniaga semula,” katanya.

Beliau turut menasihatkan penduduk tempatan yang menyewakan premis kepada warga asing untuk perniagaan tersebut memantau keadaan itu dan memastikan mereka mempunyai lesen sah.

“Kita juga memberi peringatan kepada penduduk tempatan agar tidak menyalahgunakan lesen mereka dengan menyewakan kepada warga asing atau melakukan penipuan lesen seperti Ali Baba.

“Tindakan tegas akan diambil sekiranya kesalahan ini berterusan. MBAS akan bekerjasama dengan agensi lain pada masa akan datang bagi mengekang salah laku melibatkan warga asing,” katanya. – UTUSAN 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN