BACHOK: Buat julung kalinya, Malaysia menjadi tuan rumah kepada Cabaran Robot Belia ASEAN 2025 (ASEAN Y-RoboC’25) yang menghimpunkan penyertaan 10 negara ASEAN termasuk Timor Leste dalam pertandingan berprestij melibatkan teknologi dan kemahiran belia.
Program yang berlangsung serentak dengan Hari Kerjaya TVET ILKBS Zon Pantai Timur itu dijalankan dalam dua peringkat, nasional dan antarabangsa, sekali gus menjadi platform penting memperkukuh semangat kerjasama serantau dalam bidang robotik dan teknologi.
Timbalan Pengarah Bahagian Kemahiran Kementerian Belia dan Sukan, Zakiah Mat Jali berkata, sebanyak 132 pasukan bakal bersaing termasuk wakil dari Indonesia, Filipina, Brunei, Laos, Vietnam, Myanmar, Thailand, Singapura, Kemboja dan Timor Leste.
Katanya, segala kos termasuk makan minum dan penginapan peserta luar negara ditanggung oleh kerajaan Malaysia, menggambarkan komitmen serius dalam mengangkat pembangunan belia.
“Seramai 36 peserta berkampung selama seminggu di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Bachok sebelum pertandingan rasmi berlangsung hari ini di Mydin Mall Tunjung,” katanya.
Sebanyak dua kategori dipertandingkan iaitu robot soccer dan robot combat seberat lapan kilogram.
Selain itu, karnival kerjaya turut diadakan dengan kerjasama Perkeso yang menawarkan temuduga terbuka dan hebahan maklumat pembangunan kerjaya.
Sementara itu, peserta dari Myanmar, Wai Yan Min, berkata penyertaannya dalam pertandingan itu sebagai pengalaman berharga untuk menjalin hubungan serantau.
Manakala Micheal Lim dari Timor Leste berkata, meskipun kemenangan menjadi sasaran, namun peluang melihat sendiri keunikan masyarakat majmuk di negara ini lebih bererti buat dirinya. – UTUSAN